
Pelakon Azad Jazmin memberitahu dia enggan dirinya dikenali sebagai seorang pelawak, sebaliknya sebagai seorang pelakon biasa biarpun dia sering membawa watak komedi.
Demi mengelak dirinya dikaitkan sebagai pelawak, dia telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai mana-mana program pertandingan lawak.
“Karakter komedi adalah sebahagian daripada watak yang kerap saya lakonkan. Saya bersyukur kerana penonton menerima apa yang saya lakukan di kaca televisyen mahupun layar perak.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu dikaitkan sebagai pelawak dan sebolehnya mengelakkan diri daripada menyertai program pertandingan lawak,” katanya yang dipetik dari Kosmo!
Tambah Azad lagi, dia mahu penonton melihat dirinya sebagai seorang pelakon yang mampu menggalas pelbagai jenis karakter.
Dalam perkembangan lain, pelakon “Kolumpo” ini berkata bakal muncul dengan program televisyen berbentuk permainan “Perang Bibir” di TV3.

Selain itu, dia juga bakal masuk ke set penggambaran filem terbarunya berjudul “Polis Evo 2” yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Azad berkata filem sekuel arahan Ghaz Abu Bakar itu akan menyaksikan sisi berbezanya apabila dia akan membawa watak sebagai seorang anggota polis yang bersikap tegas.
Sementara itu, Azad berkata selain sibuk dengan aktiviti seninya, dia juga sibuk menguruskan kerjaya isterinya Eira Syazira yang kini melebarkan sayapnya ke negara jiran Indonesia.
Mereka akan berangkat ke Indonesia pada bulan hadapan untuk merakamkan single terbaru bersama Wali Band.
Sumber: Cinema Online