Sebagai seorang pelakon wanita aksi yang sering kita nantikan aksinya, Charlize Theron yang terkenal sebagai Furiosa dalam filem Mad Max: Fury Road kembali dalam filem aksi pengintipan Atomic Blonde yang diarahkan oleh pengarah filem John Wick dan Deadpool 2, David Leitch.
Diadaptasikan dari novel grafik The Coldest City, Atomic Blonde mengisahkan seorang pengintip dan juga pembunuh upahan untuk agensi M16 yang ditugaskan ke sebuah bandar besar yang menjadi tumpuan semasa perang dingin iaitu Berlin untuk mendapatkan dokumen yang sangat penting dan menjadi buruan kesemua agensi-agensi perisikan dunia.
Berlatarbelakang dipenghujung tahun 80an, Lorraine Broughton (lakonan Charlize Theron) telah diminta oleh pegawai atasannya untuk mendapatkan kembali sebuah dokumen yang dirampas oleh seorang agen KGB. Agen tersebut telah membunuh agen M16 di Berlin bagi merampas dokumen yang mempunyai senarai nama agen-agen yang sedang menjalankan tugas. Selain itu juga Lorraine juga dikehendaki mencari dan membongkarkan penyamaran seorang “double agent” yang dikenali sebagai “Satchel”.
Lorraine diminta untuk berhubung dengan salah seorang agen M16, David Percival (lakonan James McAvoy) yang berada di Berlin bagi membantu misinya disana. Bagaimanapun Lorraine mengalami masalah apabila identitinya sebagai agen M16 di Berlin telah terbongkar dan dia juga diintip oleh seorang agen Perancis, Delphine (Lakonan Sofia Boutella).
Antara tarikan filem Atomic Blonde ini ialah aksi-aksi tempur yang ditonjolkan oleh pengarah filem ini. David Leitch yang turut mengarahkan filem John Wick cuba membawa masuk resepi yang sama kedalam filem arahannya ini, cuma dilakukan dengan cara yang sedikit yang berbeza. Beliau melebihkan aksi “hand to hand combat” dalam filemnya dan Charlize Theron yang terkenal dengan aksi lasaknya berjaya memberikan aksi tersebut dengan cukup baik dan mendebarkan. Oh yer, difahamkan Charlize Theron melakukan sendiri aksi-aksi stunt .
Selain tu juga, background dan fesyen 80-an yang cukup “liar” dicampur pula dengan musik-musik retro pada zaman tersebut membuatkan filem Atomic Blonde cukup “style” untuk sebuah filem aksi pengintipan. Masih terngiang-ngiang di telinga saya akan lagu-lagu seperti “99 Luftballons” dan “London Calling” yang dimainkan dalam beberapa babak filem ini.
Saya suka dengan karakter Liorrane yang dibawa oleh Charlize Theron, karakternya cukup tenang dan kool tetapi jiwanya penuh dengan dendam dan tiada belas kasihan kepada penjahat. Begitu juga lakonan James McAvoy yang membawakan watak seorang pengintip yang diragui kesetiannya, David Percival. Prestasi lakonannya sama hebatnya seperti dalam filem Split lakonan beliau.
Cuma plotnya agak tipikal seperti filem-filem pengintipan yang lain, Ejen baik cuba merampas maklumat penting dari orang jahat, mujur sedikit twist dipenghujung filem mengenai siapakah “Satchel” yang sebenar memberikan sedikit kelebihan pada filem Atomic Blonde. Elemen “espionage” juga tidak ditonjolkan dengan begitu mendalam walaupun ia sebuah filem pengintipan. Elemen-elemen espionage yang ditunjukkan dalam filem seperti James Bond, Man From U.N.C.L.E jauh lebih baik dari filem ini.
Secara keseluruhan, Atomic Blonde adalah sebuah filem aksi yang cukup mendebarkan ditambah pula dengan suasana filem yang cukup retro berserta musik-musik yang menarik dan catchy. Bagi yang meminati filem John Wick, Atomic Blonde adalah filem yang sesuai untuk anda, cuma anda diminta tidak mengharapkan aksi-aksi tembakan ke kepala kerana Atomic Blonde banyak menyajikan aksi tempur tanpa senjata dari pelakon aksi wanita yang cukup terkenal, Charlize Theron.