Pengarah, pelakon dan penghibur tanah air, Afdlin Shauki telah melancarkan aplikasi e-komik Boboi yang mana ia boleh di muat naik di telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android dan IOS (iPhone Operating System).
Menurut Afdlin, idea untuk menghasilkan e-komik ini tercetus kerana dia dahulu merupakan seorang peminat komik dan mempunyai ramai rakan yang turut berkongsi minat yang sama.
“Dulu impian saya memang nak jadi kartunis. Tapi disebabkan saya mendalami bidang seni bina, hasrat itu tak kesampaian dan saya hanya lihat kawan-kawan saya saja yang teruskan minat mereka.”
“Sekarang saya sudah mempunyai keyakinan dan kemampuan, saya buat sendiri komik saya dan yang pertama adalah dalam versi komik fizikal namun semakin lama kita lihat media cetak sudah kurang hasilkan komik, jadi saya hasilkankan komik dan ‘masukkannya’ dalam telefon pintar,” katanya kepada Utusan Online.
Pada masa sama, bagi memastikan ada orang membaca e-komik tersebut, pelakon “Berani Punya Budak” tahu dia perlu menghasilkan sesuatu yang menarik dan bukan sekadar komik sahaja.
Untuk itu, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menjadikan komik dan animasi pada satu masa yang sama iaitu animasi akan dilakukan berdasarkan lukisan kartun.
Ditanya mengenai keberaniannya mengambil risiko dalam menghasilkan e-komik ini, Afdlin berkata dia berani mengambil risiko kerana mahu menjadi orang pertama yang mencetuskan idea dan inovasi ini dalam negara.
Selain itu, dia percaya e-komik Boboi mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk menyukai karektor itu.