Tidak dipastikan sama ada watak The Ancient One ini bakal muncul dalam filem Avengers 3 akan datang, tetapi laporan terbaru yang dikeluarkan oleh beberapa laman web antarabangsa, kebarangkalian untuk watak dalam filem Doctor Strange itu muncul dalam filem Infinity war mungkin ada.
Laporan berkenaan berdasarkan hasil temubual diantara Mark Ruffalo dengan laman web podcastone.com. Dalam temubual tersebut, Ruffalo menjawab soalan dari penemubual mengenai pelakon manakah yang senang beliau untuk bekerjasama dan memberi impak kepadanya. Selepas menamakan Joaquin Phoenix, Ruffalo kemudian menamakan Tilda Swinton yang mana beliau mendedahkan, baru-baru ini telah bekerjasama dengan pelakon tersebut, diikuti dengan nama Cate Blanchett.
Ruffalo dan Blanchett telah bekerjasama dalam pembikinan filem Thor: Ragnarok baru-baru ini, tetapi yang menjadi persoalan adalah kerjasama diantara pelakon Hulk itu dengan Tilda Swinton. Ini disebabkan kedua-dua pelakon tersebut tiada projek pembikinan filem akan datang yang melibatkan mereka berdua.
Tilda Swinton merupakan pelakon yang membawakan watak The Ancient One dalam filem Doctor Strange, dan dia hanya membuat satu penampilan sahaja dalam filem Marvel memandangkan wataknya itu telah ditamatkan dengan mematikan watak tersebut.
Walaupun kemunculan semula The Ancient One tidak disahkan oleh pihak studio, tetapi berdasarkan repultasi Mark Ruffalo sebagai pemecah rahsia-rahsia besar filem Marvel, kebarangkalian watak The Ancient One untuk muncul dalam Infinity War mungkin ada, sama ada dalam bentuk babak flashback atau sebaliknya.