Pernahkah anda menonton sebuah filem yang mengangkat negara haram Israel atau rakyatnya sebagai hero dalam filem? Contoh yang paling mudah seperti filem Munich arahan Steven Spielberg dan You Don’t Mess with the Zohan arahan Dennis Dugaan. Saya yakin, mesti ramai yang sukar untuk menerima sesebuah filem yang menjadikan negara atau rakyat Israel sebagai hero kerana status negara tersebut yang sangat dikenali sebagai penindas rakyat Palestin. Kesudahannya filem-filem tersebut pasti tidak mendapat sambutan disini kerana mungkin ada yang memboikot filem tersebut.
Semasa saya mengentahui filem Entebbe akan ditayangkan tahun ini, saya tidak yakin ia akan dapat ditayangkan di Malaysia kerana ia jelas sekali memaparkan Israel sebagai hero dalam filem tersebut. Atas sebabkan boikot oleh rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam, saya menjangkakan, LPF akan menghalang filem ini dari ditayangkan di Malaysia. Tapi sangkaan saya meleset selepas melihat trailernya dimainkan di siaran iklan di pawagam bahawa filem tersebut bakal ditayangkan disini.
Disebabkan itu, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat filem yang diangkat dari kejadian yang pernah berlaku pada era 70an. Saya ingin lihat sejauh mana pembikin filem nya, José Padilha mengangkat Israel sebagai jaguh dalam filem arahannya ini.
Entebbe atau tajuknya di Malaysia 7 Days in Entebbe merupakan adaptasi dari kejadian rampasan pesawat oleh 2 revolusinalist dari Jerman dan 2 pejuang Palestin. Dibintangi oleh Rosamund Pike dan Daniel Brühl filem 7 Days in Entebbe mengisahkan tentang peristiwa yang pernah berlaku pada era 70an dimana pesawat Air France telah dirampas oleh dan dibawa ke lapangan terbang Entebbe, Uganda. Ini bukanlah pertama kali kejadian ini diterjemahkan dalam filem, sebelum beberapa filem telah dihasilkan dan Entebbe adalah filem kelima yang telah dihasilkan.
Sejujurnya saya berani katakan, 7 Days in Entebbe sebuah filem yang sangat seimbang, tidak berlaku berat sebelah dalam menceritakan kejadian sepanjang tempoh 7 hari kejadian rampasan pesawat. Kebiasaannya filem-filem bertemakan ‘historical’ dan ‘actual event’ pasti akan menceritakan kisah disebelah pihak sahaja, tetapi tidak dalam filem ini dimana penonton dapat melihat cerita dipihak perampas dan juga dipihak kerajaan Israel. Anda dapat memahami tujuan dan modus operandi pejuang Palestin dan para revolusinari dalam mendapatkan perhatian dunia terhadap perjuangan mereka mereka menentang Israel serta para imperialist dan anda juga dapat melihat dengan lebih mendalam bagaimana negara Israel menangani krisis yang melibatkan negara mereka dengan cara tipu helah mereka. Menonton 7 Days in Entebbe boleh diibarat seperti menonton filem propaganda dan juga politik kerana kedua-dua sentimen tersebut sangat ditekankan dalam filem ini. Bagi yang tidak gemarkan propaganda dan politik pasti akan merasa bosan, tapi tidak bagi saya kerana ia memberikan satu “view” kepada saya tentang cara perjuangan para revolutionary golongan dahulu dalam menentang imperialisme terutamanya Israel serta melihat bagaimana Israel menyelesaikan masalah mereka sepertimana yang ditunjukan dalam filem Munich.
Saya sebenarnya cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh José Padilha dan penulis Gregory Burke dalam filem ini. Ya, filem ini memaparkan Israel sebagai hero, tetapi jika anda menonton dipihak perampas, ia mewujudkan satu perasaan simpati penonton kepada revolusinalis seperti pejuang Palestine dan kumpulan-kumpulan sayap kiri yang lain. Tidak seperti tipikal filem-filem lain, kita akan disajikan dengan aksi kejam dan ganas golongan ini, tetapi filem ini berbeza. Perampas tidak digambar sebagai pengganas, sebaliknya sebagai pejuang kebebasan, cuma operasi mereka untuk mendapatkan perhatian dunia telah menyebabkan mereka dilabelkan sebagai pengganas. Tidak hairanlah jika saya baca review dari pengkritik luar yang mengatakan filem 7 Days in Entebbe sebagai sebuah filem anti-Israel kerana tidak banyak ‘side’ Israel ditunjukan – hanya memaparkan konflik politik antara mereka, sebaliknya penonton akan disajikan dengan falsafah para pejuang dan sifat mereka yang tidak ganas walaupun barat sering menggambarkan mereka sebagai kejam dan sanggup melakukan apa sahaja untuk perjuangan mereka.
Antara yang menariknya tentang 7 Days in Entebbe ialah karakter-karakternya. Jika anda kenal Yitzhak Rabin, Simon Peres dan Benjamin Netanyahu, anda benar-benar mengikuti krisis yang berlaku antara Israel dan Palestin. Ketiga-tiga individu penting dalam penjanjian damai Palestin Israel itu ditunjukkan dalam filem ini kerana mereka terlibat secara langsung dalam operasi pembebasan tebusan oleh IDF (Israel Defence Force).
Dalam banyak-banyak pelakon dalam filem ini, lakonan Eddie Marsan sebagai Simon Peres paling mencuri perhatian saya. Rosamund Pike dan Daniel Brun juga tidak mengecewakan, cuma karakter mereka sebagai Brigitte Kuhlmann dan Wilfried Böse semakin tenggelam dipertengahan cerita, mungkin kerana mahu menepati jalan cerita filem dengan kejadian sebenar dimana mereka sebenarnya bukanlah ‘mastermind’ dalam kejadian rampasan kapal terbang tersebut.
Sinematografi dan latarbelakang filem juga boleh dikatakan ‘superb’. Dengan tone warna, penampilannya dan pakaian benar-benar kelihatan seperti sebuah filem yang dihasilkan pada tahun 70an-80an, bukannya diterbitkan pada zaman ini. Begitu juga dengan skor dan background music filem ini yang cukup padu dan kena dengan babak filem
Cuma babak yang melibatkan operasi menyelamat tebusan sangat sedikit dan tidak ‘intense’. Saya percaya, penonton mesti harapkan babak ini kelihatan sangat padu dengan drama berbalas tembakan dan serbuan untuk menyelamatkan tebusan. Tetapi selepas lama menonton drama diantara perampas dan tebusan serta konflik antara Perdana Menteri Israel dan Menteri Pertahanannya, Simon Peres, penonton hanya disajikan dengan 10 minit babak tembak-menembak yang sangat pendek.
Secara keseluruhannya, 7 Days in Entebbe adalah filem yang menarik untuk ditonton terutamanya bagi yang gemarkan filem bertemakan kejadian sebenar dan sejarah. Walaupun babak aksinya tidak begitu banyak, tetapi drama yang ditunjukkan dalam filem ini tidak membuatkan anda bosan dan dialog serta jalan ceritanya penuh dengan isi. Bagi yang ingin memboikot filem ini, saya nasihatkan, anda tontonya terlebih dahulu.
Rating Kakimuvee: 7.5/10