Rizal Halim, Pengarah Malaysia Pertama Arah Filem Di Australia

0
285
views

rizal-halim

Rakyat Malaysia pertama yang mengarahkan filem di Australia, Rizal Halim optimis karya sulung arahannya ‘Lurking Wood’ mampu menempa kejayaan di persada antarabangsa.

Rizal, 44, berkata filem bercorak ‘suspense thriller’ itu kini dalam proses rundingan dengan pengedar filem di peringkat antarabangsa dan diharap dapat ditayangkan tidak lama lagi.

“Filem ini sangat mendebarkan dan semasa pratonton di Perth, Australia, kami mendapat respons menggalakkan daripada penonton hingga ada yang menangis ketika menonton filem ini.

“Saya juga tidak sabar untuk tayangkan filem ini di Malaysia kerana sangat berbesar hati untuk berkongsi karya ini di tanah air sendiri,” katanya di sini.

Rizal berkata, selain beliau, anak tempatan lain yang terlibat dengan penerbitan filem itu ialah penerbit, Rod Manikam yang merupakan pemilik Rodman Pictures Pte Ltd yang berpangkalan di Perth, Australia dan Desmond Hew sebagai penulis skrip. Kesemua kru dan pelakon utama filem itu adalah warga Australia.

Rizal berkata, mereka juga merancang untuk menghantar filem berdurasi kira-kira 80 minit itu ke pelbagai festival filem di peringkat antarabangsa.

“Antaranya ke Toronto Film Festival, Hong Kong, Australia, Cannes, Los Angeles dan Kanada,” katanya.
Sementara itu, Manikam berkata, penggambaran filem berkenaan dilakukan di Australia Barat dan menerusinya penonton dapat melihat keindahan lokasi berkenaan yang pasti memukau.

“Oleh kerana filem ini suspen, saya tidak mahu menceritakan banyak tentang filem ini, anda saksikan sendiri nanti,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem kedua arahan Rizal dan berharap proses suntingan berjalan lancar.

“Saya sangat selesa bekerja dengan Rizal dan memberi kepercayaan untuk beliau mengarah filem kedua,” katanya.

Sumber: Bernama

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here