Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Trivia

16 Filem Perang Dunia Kedua Yang Diadaptasikan Dari Pertempuran Sebenar

Filem perang merupakan antara salah satu genre yang sangat diminati para peminat filem. Filem-filem yang berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua antara yang paling banyak dihasilkan. Sesetengah peminat tidak kisah sekirangnya filem tersebut adalah fiksyen seperti Fury dan Inglourious Basterds, selagi ia bertemakan Perang Dunia Kedua, pasti akan menjadi tontonan. Bagaimana pula dengan filem-filem perang yang diadaptasikan dari pertempuran sebenar seperti “Battle of the Bulge” atau “D-Day”? kami yakin mesti ramai yang turut meminati filem-filem Perang Dunia Kedua yang berdasarkan dari sejarah yang pernah berlaku.

Jadi kami ambil inisiatif untuk kongsikan kepada anda semua, senarai 16 Filem yang diadaptasikan dari sejarah pertempuran Perang Dunia Kedua.

Thirty Seconds Over Tokyo (1944)

Thirty Seconds Over Tokyo merupakan salah satu filem perang klasik yang diterbitkan ketika Perang Dunia Kedua masih lagi berlaku. Filem berkisarkan tentang operasi bersejarah yang dikenali sebagai Doolittle Raid, serangan balas Amerika Syarikat terhadap Jepun, empat bulan selepas Jepun menyerang Pearl Harbor pada tahun 1941. Walaupun serangan ini tidak memberi kesan strategik, ia meningkatkan moral pasukan tentera Amerika Syarikat dan mengejutkan Jepun kerana mereka sebelum ini tidak percaya bahawa AS mampu membuat serangan sehingga ke bandar Tokyo. Babak serangan udara dalam filem ini menggunakan rakaman sebenarnya yang diambil dari pesawat pengebom.

The Guns of Navarone (1961)

Filem kerjasama British – AS ini diadaptasikan dari novel The Guns of Navarone yang ditulis oleh Alistair MacLean. Novel tersebut diinspirasikan dari Pertempuran Leros yang berlaku pada 26 September sehingga 16 November 1943. Filem dan novel ini berkongsi plot asas yang sama, iaitu usaha pasukan komando tentera Berikat yang cuba untuk memusnahkan kubu tentera German yang sering mengancam kapal-kapal tentera berikat di Lautan Aegean.

The Longest Day (1962)

Filem perang epik hitam-putih ini diadaptasikan dari buku The Longest Day tulisan Cornelius Ryan. Filem ini memaparkan hari pertama “D-Day“, serangan tentera berikat di Pantai Normandy pada 6 Jun 1944. Filem ini menampilkan sejumlah besar pelakon-pelakon antarabangsa, malah turut melibatkan bekas-bekas tentera dari kedua-dua belah pihak yang pernah terlibat dalam serangan D-Day ini.

 Battle of Britain (1969)

Antara filem termahal yang pernah dihasilkan di Britain, dan memaparkan babak ‘dogfight’ paling hebat pada zaman itu. Battle of Britain berkisarkan tentang usaha pasukan tentera udara British, RAF yang bermati-matian menghalang serangan udara Luftwaffe, sekaligus membatalkan Operasi Sea Lion – operasi yang dirancangan Adolf Hitler untuk menyerang Britain. Banyak pelakon-pelakon hebat era 60an telah menawarkan diri untuk membawakan watak dalam filem ini. Selain itu juga, Battle of Britain turut diiktiraf antara filem yang tepat fakta sejarahnya.

Patton (1970)

General George S. Patton merupakan antara jeneral perang yang paling disegani dan ditakuti semasa Perang Dunia Kedua. Kisah Patton kemudiannya diangkat ke layar perak menerusi filem biografi perang berjudul Patton. Filem tersebut diarahkan oleh Franklin J. Schaffner berdasarkan skrip yang ditulis oleh Francis Ford Coppola dan Edmund H. North. Dalam filem tersebut, anda akan melihat penglibatan Jeneral George S. Patton dalam beberapa pertempuran penting, antaranya Battle of El Guettar, pertempuran peribadi diantara Patton dan Jeneral Tentera German, iaitu Erwin Rommel, Pencerobohan Sicily, Operation Market Garden dan Battle of the Bulge.

Tora! Tora! Tora! (1970)

Tora! Tora! Tora! merupakan gabungan pembikin filem dari Jepun dan Amerika Syarikat. Filem ini berkisarkan tentang serangan Jepun terhadap Pearl Harbour pada tahun 1941, sekaligus mencetuskan perang Pasifik diantara Jepun dan AS. Untuk info, filem ini gagal mendapat kutipan memberangsangkan di Amerika Syarikat, tetapi hit di negara Jepun. Filem Pearl Harbor yang diterbitkan pada tahun 2001 telah menggunakan beberapa model kapal terbang dari filem ini untuk adegan pertempuran udara.

A Bridge Too Far (1977)

Filem perang klasik yang dibintangi oleh beberapa pelakon terkenal pada masa itu seperti Sean Connery, Michael Cain, Dirk Bogarde, Anthony Hopkins dan ramai lagi. A Bridge Too Far memaparkan operasi ketenteraan terbesar selepas D-Day yang berlaku semasa penghujung Perang Dunia Kedua. Pihak Berikat telah melancarkan satu operasi besar-besaran yang dinamakan Operation Market Garden dengan tujuan untuk memaksa tentera Nazi berundur sehingga ke negara sendiri dan menamatkan perang dunia kedua. Filem ini memaparkan banyak pertempuran klasik diantara Tentera Berikat dan Nazi dalam usaha menawan bandar-bandar dan beberapa jambatan penting. Selain itu juga, A Bridge Too Far turut menunjukkan bagaimana operasi ini gagal mencapai objektifnya.

Midway (1976)

Battle of Midway” yang berlaku Jun 1942 merupakan antara pertempuran laut terbesar di medan perang Pasifik semasa Perang Dunia Kedua. Filem ini berkisarkan tentang Armada Tentera Laut AS yang berjaya memecah kod rahsia pasukan tentera laut Jepun dan bersedia untuk mempertahankan kepulauan Midway. Terdapat beberapa aksi dalam filem Midway diambil dari rakaman beberapa filem perang popular pada masa itu, seperti Tora! Tora! Tora! (1970), filem perang Jepun, Storm Over the Pacific (1960), All Away Boats (1956), Thirty Seconds Over Tokyo (1944) dan Battle of Britain (1969). Midway juga merupakan antara filem perang yang paling popular ketika era 70an.

Saving Private Ryan (1998)

Antara filem perang dunia terhebat sepanjang zaman, dan ini diakui ramai pengemar filem perang. Saving Private Ryan mungkin nampak fiksyen, tetapi sebenarnya filem ini diinspirasikan dari tindakan Jabatan Perang AS sewaktu Perang Dunia Kedua dimana mereka mengeluarkan satu polisi untuk menyelamatkan anggota tentera yang telah kehilangan semua adik-beradik sewaktu perang. Untuk mengentahui kisah lanjut mengenai filem Saving Private Ryan, anda boleh baca artikel kami disini.

The Enemy at the Gates (2001)

Enemy at the Gates boleh dikatakan separa fiksyen, tetapi masih lagi berdasarkan dari pertempuran sebenar iaitu Battle of Stalingrad. Filem arahan Jean-Jacques Annaud ini berdasarkan buku bukan fiksyen Enemy at the Gates: The Battle for Stalingradyang menggambarkan suasana bandar Stalingrad ketika Perang Dunia Kedua diantara tentera Nazi Jerman dan Soviet Union. Karakter utama filem ini adalah versi fiksyen penembak tepat sebenar Vasily Zaitsev, wira Soviet Union semasa Perang Dunia Ke-2. Jadi perseteruan antara Vasily dan Major tentera Jerman dalam filem ini adalah fiksyen, tetapi suasana pertempuran adalah gambaran tepat semasa perang.

Pearl Harbour (2001)

Filem yang berdasarkan sejarah pertempuran paling terkenal semasa Perang Dunia Kedua, iaitu Attack on Pearl Harbor, serangan mengejut Jepun terhadap pengkalan tentera laut AS di Pearl Harbour. Seranggan itu merupakan Deklarasi Perang terhadap Jepun, sekaligus membuatkan teater Perang Pacific ketika Perang Dunia Kedua. Walaupun filem Pearl Harbour menunjukkan kisah romantik, ia masih memasukan peristiwa serangan Jepun terhadap Amerika Syarikat.

Downfall (2004)

Downfall diadaptasikan dari buku terkenal, Inside Hitler’s Bunker. Filem sejarah berbahasa Jerman ini telah menimbulkan kontroversi kerana menunjukan sisi kehidupan Hitler dan gambaran pegawai tertinggi Nazi. Walaupun terpalit dengan kontroversi, filem ini mendapat pujian pengkritik terutamanya pada pelakon yang membawa watak Hitler. Downfall menceritakan detik-detik akhir Adolf Hitler dan kejatuhan kerajaan Nazi Jerman semasa penghujung Perang Dunia Kedua. 

The Great Raid (2005)

Jangan sama filem The Great Raid dengan The Great Escape yang diterbitkan pada 1963. The Great Raid merupakan adaptasi dari peristiwa “Raid at Cabanatuan” yang berlaku pada 30 Januari 1945, dimana pasukan tentera AS dan gerila Filipina telah merancang dan menyerang kem tahanan tentera Jepun yang terletak berhampiran bandar Cabanatuan untuk membebaskan sejumlah besar tahanan perang.

Valkyrie (2008)

Berdasarkan kisah sebenar mengenai plot untuk membunuh Hitler pada bulan Julai 1944, Operasi Valkyrie adalah plot segelintir anggota tentera Hitler untuk membunuh Hitler dan menggulingkan Third Reich. Kolonel Claus Von Stauffenberg sangat setia kepada negaranya dan parti Nazi, tetapi bimbang Hitler akan menghancurkan bangsanya itu. Dia bergabung dengan sekumpulan orang yang berpikiran sama dan berpangkat tinggi untuk menjatuhkan rejim Nazi dari dalam. Stauffenberg menjadi indivitu utama untuk membunuh diktator jahat itu.

Hacksaw Ridge (2016)

Filem biografi perang ini berdasarkan dokumentari The Conscientious Objectormengenai seorang anggota tentera AS yang mahu berkhidmat pada negaranya tetapi telah bersumpah tidak mahu memegang senjata dan membunuh. Andrew Garfield memainkan watak utama sebagai Desmond Doss, anggota ‘combat medic’ AS semasa Perang Dunia di Pacific. Doss menjadi penentang perang pertama yang dianugerahkan Medal of Honor, pingat tertinggi Kerajaan dan AngkatanTentera AS, semasa Battle of Okinawa. Dia telah menyelamatkan banyak nyawa, bukan sahaja tentera AS malah turut menyelamatkan tentera Jepun yang cedera semasa bertempur. 

Dunkirk (2017)

Filem arahan Christoper Nolan ini diadaptasikan dari Operation Dynamo, iaitu sebuah operasi ketenteraan, bukan untuk menyerang, tetapi sebaliknya untuk menyelamatkan sebilangan besar pasukan tentera berikat yang terkepung semasa diawal Perang Dunia Kedua. Dunkirk tidak mempunyai banyak dialog dan babak-babak yang melibatkan perang, tetapi mampu mencipta suasana suspen menerusi teknik sinematografi dan runut bunyi. Pengkritik menganggap Dunkirk antara filem perang terbaik yang pernah dihasilkan.

Related posts

The Best Action and Trilling Entertainment on HBO GO, HBO and Cartoon Network This December

Is Mohd

Disebalik Pembikinan Siri Hit Netflix ‘Hellbound’

Zulaikha

The Making of a Live-Action Anime: 9 Fun Facts from Behind the Scenes of Cowboy Bebop

Is Mohd

7 Fakta Tentang Mickey Mouse & Minnie Mouse Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Kakimuvee

8 Filem Korea Pelbagai Genre Yang Boleh Tonton Di Mubi

Natasha

8 Shows Where Asian Leads Are In the Spotlight

Zulaikha

Leave a Comment