Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Trivia

12 Filem & Siri TV Superhero Paling Menarik Tahun 2021

Tahun 2021 telahpun berlalu, dan sedar tak sedar, banyak filem dan siri televisyen superhero telah ditayangkan pada tahun lalu meskipun kita pada waktu itu masih lagi dibelenggu dengan pandemik. Dari siri WandaVision ke penghasilan semula Justice League sehinggalah ke filem The Suicide Squad dan Spider-Man: No Way Home yang dinantikan peminat, tahun 2021 adalah tahun yang penuh dengan keterujaan peminat filem dan siri buku komik. 

Antara filem dan siri televisyen yang telah ditayangkan pada tahun lalu, yang manakah anda rasa paling menarik? ‘Well…’ kami ada senarai tersendiri. Disini Kakimuvee senaraikan filem dan siri superhero paling menarik tahun 2021.. dan ya, ini pilihan kami sendiri, pilihan anda? anda boleh senaraikan di ruangan komen.

12. Eternals

Salah satu eksprimen Marvel Studios, tetapi tidak seperti yang lain, Eternals menerima kecaman dan pengharaman di beberapa negara kerana memperkenalkan pasangan LGTBQ dalam filemnya. Terima kasih kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana memotong babak tidak sepatutnya, sekurang-kurangnya kita dapat melihat Eternals beraksi di MCU.


Filem arahan Chloé Zhao diakui terlebih bercita-cita tinggi sehingga memberi kesan pada MCU, menjadi filem pertama MCU yang mendapat status Rotten di Rotten Tomatoes. Namun begitu, selain ‘Multiverse’ dan alam ghaib, Eternals membuka satu lagi jalan cerita yang menuju ke peperangan skala besar, sebesar galaktik, iaitu menentang Celestial. 

11. Venom: Let There Be Carnage

Sony Pictures sangat optimis untuk mengembangkan dunia Spider-Man Universe. Venom: Let There Be Carnage menyaksikan Eddie Brock terus bercakaran dengan simbiotenya, iaitu Venom. Tom Hardy kini semakin serasi dalam filem buku komik, dan peminat masih mahu melihat dia sebagai Venom. Tetapi filem kedua ini sedikit kurang dari segi cerita, dan penjahat baharu, Carnage, tidak seperti yang dijangkakan peminat. Namun begitu, harapan peminat untuk melihat Venom Tom Hardy menentang Spider-Man Tom Holland masih lagi belum pudar. 

10. The Falcon & The Winter Soldier

Siri ‘buddy comedy’ aksi yang menarik dan banyak meneroka dunia bawah tanah yang tidak pernah diketahui peminat. Sam dan Bucky diibaratkan seperti pasangan Lethal Weapon Martin dan Roger, sering bercakaran tetapi tetap menjaga antara satu sama lain. Siri ini menjadi ‘turning point’ kepada Sam untuk akhirnya menggunakan Shield dan menjadi Captain America seterusnya. Sarat dengan aksi dan cukup menghiburkan, tetapi apa yang penting, tarian santai Helmut Zemo menjadi viral di Internet.

9. WandaVision

Disinilah Wanda Maximoff membuka kunci kuasa terhebatnya. WandaVision merupakan salah satu eksperimen Marvel Studios, maksud saya cara mereka menyampaikan cerita dalam kandungan mereka. Siri ini sangat berbeza dari filem-filem dan siri MCU yang lain, disampaikan dalam bentuk sitkom, yang berdasarkan dari sitkom popular era 50an hinggalah 90an.

Sesetengah peminat mungkin merasa sedikit bosan dengan WandaVision, tetapi siri ini sangat penting dalam Fasa seterusnya kerana Scarlett Witch adalah individu yang sangat penting dalam dunia ‘Multiverse’. 

8. Black Widow

Sekadar ‘filler’ untuk Fasa 4 MCU dan filem ucapan selamat tinggal kepada peminat MCU. Tetapi Black Widow tetap menyajikan kisah lampau Natasha Romanoff yang cukup menarik serta memperkenalkan penggantinya, iaitu Yelena Belova lakonan Florence Pugh. Peminat MCU pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat aksi Black Widow buat kali terakhir, cuma penamat filem ini sedikit kurang emosional. 

7. Zack Snyder’s Justice League

Versi Josh Wheedon diakui tidak begitu menarik , terlampau mengikut acuan Marvel sehingga Justice League dijadikan ‘meme’ di Internet (terutamanya CGI misai dan jambang Henry Cavill). Namun, Warner Bros. memberi peluang kepada Zack Snyder untuk mengolah semula Justice League mengikut visinya sendiri. Dan hasilnya, Justice League versi Zack Snyder lebih gelap, ‘gritty’ dan tegang sehingga mencetuskan kempen peminat yang mahu Snyder meneruskan visi DCEU-nya. 

6. Loki

Kematian Loki dalam Avengers: Infinity War benar-benar menyedihkan peminat. Transformasinya dari ‘villain’ ke ‘antihero’ meninggalkan kesan yang cukup kuat. Tetapi Marvel memberi peluang satu lagi kepada watak itu, walaupun sekadar variant. Kisah Loki banyak berputar pada dunia ‘multiverse’, dunia yang kini sedang dikembangkan dalam MCU.

Dia dan Sylvie banyak menunjukkan kimia yang cukup menarik di skrin, dan dianggap antara pasangan paling ideal dikalangan peminat. Tambahan pula, kehadiran Kang di penghujung siri meninggalkan banyak persoalan, adakah dia akan menjadi ‘villain’ terbesar untuk Fasa kali ini selepas Thanos?

5. Hawkeye

Hawkeye berfungsi sebagai penutup siri MCU tahun 2021 dan juga yang pertama bertemakan musim percutian Krismas. Siri ini dianggap sebagai konklusi untuk superhero Avengers Clint Barton dan pengenalan protegenya, Kate Bishop. Ia juga membuka kepada lembaran baru dunia superhero Marvel dimana setiap pahlawan tidak semestinya memiliki ‘superpower’.

Cerita yang santai, tetapi menarik dan banyak menyelami perasaan Clint yang cukup emosional. Kita tidak pasti sama ada Clint akan kembali menggunakan busurnya, tetapi apa yang pasti, kita bakal mendapat salah seorang ahli Young Avengers, iaitu Kate Bishop dan siri-siri jalanan Marvel seperti She-Hulk.

4. Shang-Chi and The Legend of Ten Rings

Untuk pertama kalinya, Marvel Studios mengangkat superhero dari Asia dalam senarai sinematik mereka. Agak mengejutkan, Shang-Chi and The Legend of Ten Rings berjaya menjangkau jangkaan peminat. Paling diingati adalah adegan-adegan pertarungannya yang banyak menggunakan seni mempertahankan diri Kung-Fu, sesuatu sangat jarang kita lihat dalam filem-filem buku komik.

Tambahan pula, filem ini menambah satu lagi dunia dalam MCU, bukan ‘Multiverse’, tetapi sebaliknya melibatkan alam ghaib – mungkin anda datang, superhero Avengers akan melawan syaitan, bukannya makhluk asing. 

3. What If…?

Siri animasi yang ‘underated’, hanya dinantikan kipas-susah-mati peminat komik Marvel. What If…? memberikan cerita alternatif berdasarkan sejarah Fasa 1 hingga Fasa 4 MCU. Dari Captain Carter, Marvel Zombies sehinggalah Doctor Strange yang jahat, siri animasi ini segera menjadi kegemaran peminat, dan cuba teka.. ada beberapa episod dalam siri ini mungkin diangkat menjadi versi ‘live-action’ – Strange Supreme misalnya, mungkin versi jahat Doctor Strange dalam Doctor Strange in the Multiverse of Madness diambil dari siri What If…?

2. The Suicide Squad

Pemilihan James Gunn untuk menerajui reboot Suicide Squad nyata pemilihan paling tepat yang pernah dibuat oleh Warner Bros./DC. Gunn sememangnya sangat terkenal dalam mengangkat watak-watak komik yang kurang popular ke layar perak. Guardians of the Galaxy sudah terbukti kredibliti James Gunn sebagai pengarah filem buku komik.

The Suicide Squad bukan sahaja sarat dengan aksi ala buku komik, ianya juga sangat kelakar, berwarna-warni dan menghiburkan. Pengarahan James Gunn yang hebat dalam filem ini telah mewujudkan beberapa spin-off seperti siri HBO Max Peacemaker yang akan ditayangkan pada 13 Januari ini.

1. Spider-Man: No Way Home

Filem yang paling dinanti-nantikan peminat filem buku komik pada tahun 2021. Terima kasih kepada segala khabar angin dan spekulasi mengenai ‘multiverse’ serta kepulangan watak-watak francais Spider-Man sebelum ini. Sony Pictures dan Marvel Studios mungkin memberikan ‘perkhidmatan-peminat’ dengan mengembalikan beberapa watak kegemaran, tetapi mereka juga tidak melupakan jalan cerita yang menamatkan trilogi pertama Peter Parker Tom Holland dan mewujudkan trilogi baru yang lebih segar.

Apapun, Spider-Man: No Way Home kini menjadi antara filem superhero terbaik, khususnya dalam francais Spider-Man, dan ia juga secara tidak langsung membuka peluang kepada dua pelakon asal untuk kembali menyambung siri filem mereka yang telah dibatalkan pada suatu ketika dahulu. 

Related posts

[VIDEO] Nama Thanos Disebut Dalam ‘Deleted Scene’ Eternals

Kakimuvee

13 Filem Bencana Yang Anda Boleh Tonton Di Perkhidmatan Streaming

Kakimuvee

[SPOILER] Hawkeye: Makna Disebalik Angka 19 Pada Jam Tangan Rolex Milik Laura Barton

Kakimuvee

3 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton ‘The Silent Sea’

Kakimuvee

Sebelum Memulakan Musim Kedua, Mari Kita Imbas Kembali Pengakhiran “The Witcher S1”

Kakimuvee

5 Fakta Belakang Tabir Menarik Tentang Siri MCU “Hawkeye”

Kakimuvee