Dalam artikel yang lalu, kami telah kongsikan 10 filem tempatan paling teruk untuk tahun ini. Namun begitu, ia tidak bermakna industri perfileman tempatan ketandusan filem-filem yang berkualiti. Tahun 2019 menyaksikan filem animasi menguasai arena box office tempatan dengan menguasai carta top 3 kutipan filem-filem tempatan. Selain itu juga, terdapat filem yang telah mengharumkan nama negara di festival-festival filem antarabangsa.
Jadi bagi menunjukkan kepada anda semua bahawa negara kita tidak ketandusan filem berkualiti, disini kami kongsikan 10 Filem Tempatan Terbaik bagi tahun 2019.
10. Busut Bonang
Mesti ada dikalangan anda tertanya-tanya kenapa filem arahan Khalid Nadzri ini tersenarai dalam carta top 10 kami. Busut Bonang antara contoh terbaik buat pembikin tempatan agak tidak terlampau ‘ambitious’ dalam menghasilkan sebuah karya. Dengan modal yang terhad, pembikin filem ini masih mampu menghasilkan sebuah filem yang kemas dari segi teknikal dan kesan khas. Penulisan skrip oleh Aloy Paradoks dan Siti Jasmina Ibrahim nampak minimalist tetapi masih berkualiti. Malah setiap pelakon dalam filem ini telah memainkan peranan mereka dengan jayanya sehingga banyak membantu melancarkan perjalanan filem Busut Bonang.
Walaupun ada yang mengatakan humornya ‘try hard’, bagi kami ianya segar, melucukan dan berjaya membuatkan kami terhibur. Busut Bonang, filem ‘underdog’ yang layak menduduki carta top 10 filem terbaik tempatan dari kami.
9. Suatu Ketika
Agak sayang bila melihat filem Suatu Ketika gagal dipentas box office. Konsepnya menarik, mampu memberi inspirasi dan semangat, tetapi gagal mendapat tempat dihati penonton dek kerana kurangnya pendedahan. Walaupun lakonan para pelakon mat salleh agak ‘awkward’, ia masih memberikan sebuah cereka yang menarik dan berinspirasi tinggi. Secara keseluruhannya, filem arahan Prakash Murugiah ini sangat berkualiti, tetapi sayang menjadi mangsa kepada kegagalan promosi filem.
8. Pusaka
Pusaka antara kejutan terbesar tahun ini. Pada awalnya kami menyangkakan Pusaka seperti filem-filem seram tempatan yang klise dan teruk, tetapi sebaliknya berlaku. ‘Execution’ sangat menarik sehingga berjaya membangkitkan perasaan ingin tahu. Begitu juga dengan plot twist – tidaklah hebat tetapi masih mengejutkan. Antara yang mencuri perhatian, lakonan Syafiq Kyle yang mantap dalam filem ini. Kudos kepada pengarah Razaisyam Rashid
7. Motif
Anda mahukan sebuah filem diluar kotak dan klise tempatan? Motif adalah jawapannya. Tetapi sayang, nasibnya sama seperti Suatu Ketika yang gagal dipentas box office tempatan. Filem karya Nadiah Hamzah ini mengetengahkan isu poligami dalam penceritaan jenayah-drama yang penuh dengan elemen misteri. Lakonan hebat Sharifah Amani antara faktor utama yang melayakkan filem ini tersenarai dalam 10 filem terbaik tempatan.
6. Fly By Night
Satu lagi filem jenayah tempatan yang menarik untuk ditonton. Berkisarkan tentang sekumpulan pemandu teksi yang menjalankan aktiviti samun terhadap penumpang mereka. Banyak pekara positif yang diperkatakan tentang filem arahan Zahir Omar ini. Skripnya, penceritaan dan paling mencuri tumpuan barisan pelakonnya yang memberikan lakonan yang cukup berkualiti. Jika anda mahu menonton filem jenayah rompakan hasil keluaran anak tempatan, Fly By Night adalah filem yang harus anda tonton.
5. Boboiboy Movie 2
Sukar sebenarnya untuk memilih filem animasi tempatan terbaik. Ketiga-tiganya memiliki kelebihan mereka yang tersendiri. Tetapi setelah melalui pelbagai perbincangan, kami memutuskan untuk meletakkan Boboiboy Movie 2 ditangga kelima carta top 10 Kakimuvee. Animasi diakui terbaik bak kata Boboiboy, tetapi cerita dan ‘voice cast’nya sedikit ‘over’.
4. Geran
Antara filem tempatan yang kami respek tahun ini, masuk ke panggung dengan harapan yang tinggi kerana trailernya menjanjikan aksi seni silat, dan apabila keluar dari panggung wayang, ia memberikan satu perasaan yang cukup memuaskan hati. Areel Abu Bakar telah memberikan sebuah filem yang sangat diharapkan peminat. Tabik spring kepada semua pelakon filem ini, aksi silat anda sangat terbaik. Jika Indonesia ada Merantau, Thailand ada Ong Bak, kita ada Geran. Diharapkan filem ini akan dihasilkan sekuel!.
3. Ejen Ali The Movie
Filem animasi yang turut digilai para penonton dewasa, tak keterlaluan kot jika kami kata orang dewasa terlebih ‘react’ berbanding penonton kanak-kanak? Ejen Ali the Movie memberikan sebuah jalan cerita yang menarik, berserta plot twist yang tak dijangka. Final fight ala Avengers: Endgame turut membuatkan kami ‘goosebump’. Walaupun terdapat sedikit kekurangan pada animasi (sesetengah babak), kami beranggapan, Ejen Ali the Movie antara filem animasi terbaik tempatan dekad ini.
2. Bu: Kasih Suci
Sebuah filem kekeluargaan yang berkisarkan tentang pengorbanan seorang ibu. Kisah drama keluarga, kedengaran tipikal bukan? Ya, ceritanya mungkin tipikal, memaparkan kepayahan hidup, dibuang kerja, berkorban demin anak-anak dan keluarga, tetapi yang menjadikan filem ini sangat menarik, adalah cara penceritaaanya, bagaimanapun penulis skrip dan pembikin filem ini memanipulasi masa agar memberikan sebuah cerita yang tidak dijangka kepada penonton. Selain itu juga, emosinya menusuk kalbu, malah gambar juga sangat kemas dan cantik. Disebabkan kualitinya, Bu: Kasih Suci layak untuk diberi penghargaan.
1. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal
Di zaman yang semakin moden, nilai-nilai murni dan keklasikkan semakin lama semakin luput. Usaha Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengetengahkan kembali zaman klasik melayu wajar dipuji. Komposisi lagu, pengalaman sinematik dan watak-watak Melayu lama dapat disegarkan kembali dengan gaya baru, walaupun hanya sekadar animasi. Atas dasar nilai yang dipertontonkan kepada umum, kami merasakan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal layak untuk menduduki tangga teratas filem terbaik tempatan tahun ini.
Honorable Mention
Warkah
Dari segi aspek teknikal, Warkah sangat jauh ketinggalan, tetapi kekuatan filem ini adalah jalan ceritannya. Motif penceritaannya sampai kepada penonton walaupun Warkah sebenarnya lebih mempromosikan perkhidmatan PERKESO. ‘Product placement’ tidak membayangi keseluruhan filem, just nice. Untuk info, Warkah merupakan adaptasi dari kisah benar seorang remaja yang mengirimkan surat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).