The Incredibles 2 Review

0
355
views

The Incredibles yang diterbitkan pada tahun 2004 merupakan antara filem animasi Disney/Pixar yang terbaik pernah dihasilkan. Bertemakan keluarga adiwira, The Incredibles memberikan sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton baik untuk golongan kanak-kanak mahupun dewasa.

Bagaimanapun, sebuah filem yang baik belum tentu penonton dapat melihat sambunganya dipanggung wayang. Peminat filem The Incredibles misalnya terpaksa menunggu selama 14 tahun untuk melihat The Incredibles 2 dipertontonkan kepada mereka. Sudah tentu tempoh masa yang cukup lama itu memberikan satu jangkaan yang tinggi kepada penonton dan berharap sekuelnya lebih baik dari yang pertama.

Disney/Pixar masih mengekalkan Brad Bird sebagai “Mastermind” untuk filem sekuel The Incredibles apabila sekali lagi kepercayaan sebagai pengarah dan penulis. Malah beliau turut disertai pelakon suara asal filem pertama seperti Craig T. Nelson sebagai Mr. Incredible/Bob Parr, Holly Hunter sebagai Elastigril/Halen Parr Sarah Vowell, Spencer Fox sebagai Dashiell “Dash” Parr dan Samuel L. Jackson sebagai Lucius Best/Frozone.

The Incredibles 2 terus bersambung dari filem pertama dimana keluarga Bob berhadapan dengan penjahat yang dikenali sebagai Underminer. Walaupun mereka berjaya menewaskan penjahat tersebut, Keluarga Bob telah ditangkap oleh polis kerana dunia masih mengikut undang undang anti superhero. Mereka  meskipun dibebaskan atas bantuan rakan lama mereka iaitu Rick Dicker. Undang-undang anti superhero menyebabkan masa depan keluarga Bob Parr menjadi tidak menentu sehinggalah munculnya seorang individu dari sebuah organisasi yang menawarkan satu tawaran yang boleh menghapuskan undang-undang anti superhero dan mengubah nasib keluarga Bob serta superhero secara keseluruhannya. Disini bermulalah cabaran yang perlu dihadapi oleh keluarga Bob dimana Helen/Elastigirl perlu menjalankan misi superhero manakala Bob perlu menjadi “surirumah” untuk menguruskan keluarga bagi memastikan undang-undang anti superhero dihapuskan.

Bagi saya, The Incredibles 2 masih mengekalkan momentum dari filem pertama walaupun ia sedikit perlahan. Jalan ceritanya saya lihat kurang mendekati para kanak-kanak kerana ia sedikit rumit dan berat buat peminat-peminat cilik. Kanak-kanak tidak memahami apa yang dilakukan oleh Bob Parr dalam menguruskan keluarga, masalah remaja Violet Parr dan pengorbanan yang dilakukan Helen yang meninggalkan tanggungjawabnya sebagai ibu untuk keluar menjadi seorang adiwira. Tapi bagi golongan dewasa seperti saya The Incredibles 2 memberi satu pandangan kepada penonton bagaimana seorang ayah menguruskan keluarga tanpa seorang isteri disisinya serta kerjasama diantara suami isteri dalam mengubah masa depan keluarga – realiti sebenar yang didedahkan oleh Brad Bird kepada penonton. Saya tidak katakan plot filemnya rumit, ia mungkin sukar untuk membuatkan kanak-kanak “enjoy” tapi bagi orang dewasa, The Incredibles 2 agak ringan dan menarik untuk ditonton. Mungkin Brad Bird bertujuan menghasilkan filem ini untuk golongan dewasa dimana mereka masih kanak-kanak semasa filem pertama dihasilkan.

Walaupun Bob Parr aka Mr. Incredibles tidak menonjol sebagai adiwira seperti filem pertama, ia tetap menjalankan tugasnya sebagai Adiwira, iaitu wira kepada keluarganya. Bagi saya, karakter  Mr. Incredibles adalah MVP dalam filem kali ini walaupun Elastigirl diangkat menjadi adiwira untuk menewaskan penjahat. Jack-Jack memberi banyak kejutan apabila karakter bayi tersebut mendedahkan begitu banyak kuasanya,  dari boleh pergi melompat ke dimensi lain sehinggalah menjadi “demon” jika terlampau marah.

Antara yang menariknya tentang filem The Incredibles 2 adalah kerja-kerja animasinya. Animasinya sangat cantik, kemas dan memukau. Saya kagumi kerja-kerja yang dilakukan oleh Pixar dalam menghasilkan animasi yang cukup kemas dan details. Tona warna serta mood & musik latar ala-ala retro yang ditekankan dalam filem ini menguatkan tarikan terhadap animasi filem ini. Seolah-olah kita menonton filem pengintipan era 60an. Saya percaya, jika ditonton The Incredibles 2 dalam versi HD atau Blu-ray, ia pasti memberikan kepuasan maksimum kepada mereka yang gemarkan kekemasan dan kecantikkan animasi.

Aksi dalam The Incredibles 2 sedikit mengecewakan dan tidak sehebat filem pertama. Saya lihat Brad Bird lebih mementingkan plot yang melibatkan kekeluargaan berbanding aksi sedangkan ia berpeluang untuk hasilkan babak aksi yang cukup intense terutamanya semasa babak klimaks kerana ia melibatkan superhero yang dipukau oleh penjahat. Kurangnya elemen ini membuatkan filem kali ini bakal kurang diingati para peminat berbanding filem pertama.

Secara keseluruhannya, penantian peminat untuk menonton The Incredibles 2 nyata tidak sia-sia. Walaupun ia tidak sehebat filem pertama, sekuelnya tetap memberikan sebuah filem animasi yang menarik untuk ditonton baik bersama rakan-rakan mahupun bersama keluarga.

*The Incredibles 2 kini sedang ditayangkan dipawagam-pawagam berdekatan

Rating Kakimuvee: 8/10

8

AKSI / SUPERHERO

8.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

8.0/10

PLOT / CERITA ASAL

8.0/10

ANIMASI

9.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

7.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here