The Darkest Minds Review

0
51
views

The Darkest Minds merupakan sebuah filem sains fiksyen thriller yang diadaptasikan dari siri novel fiksyen remaja berjudul sama yang ditulis oleh Alexandra Bracken. Filem yang berlatarbelakangkan era dystopian ini mengisahkan sekumpulan remaja yang melarikan diri dari menjadi buruan kerajaan yang menanggap mereka sebagai ancaman.

Dimulakan dengan sejarah dimana kanak-kanak diserang dengan satu penyakit misteri yang menyebabkan hampir 90% populasi kanak-kanak di Amerika Syarikat mati. Mereka yang terselamat telah memiliki satu kelebihan yang tiada pada golongan dewasa. Ruby (Amandla Stenberg) antara kanak-kanak yang terselamat dan dia mempunhyau abiliti yang cukup luarbiasa berbanding golongan kanak-kanak yang lain. Selepas menyebabkan ibubapa hilang memori terhadapnya, Ruby kemudiannya dibawa  oleh pasukan tentera ke sebuah kem yang kononnya adalah tempat untuk memulihkan kanak-kanak yang terkena penyakit misteri itu. Setibanya disana, Ruby mendapati kem tersebut seperti sebuah penjara dan kanak-kanak serta para remaja berada dikem tersebut telah diasingkan mengikut warna – kesemua warna mewakili abiliti yang ada pada mereka seperti hijau memiliki tahap intelek yang tinggi, biru mampu mengawal benda dan kuning mampu memanipulasi elektrik. Warna-warna berdasarkan warna mata yang muncul pada mereka.

Tetapi terdapat dua warna lagi yang dianggap sebagai ancaman oleh pihak kerajaan, iaitu merah dan jingga. Warna merah mampu menghasilkan api dan jingga memiliki abiliti untuk mengawal minda. Jika kanak-kanak ini menunjukkan tanda-tanda ini semasa pemeriksaan perubatan, mereka akan dibunuh serta merta. Ruby merupakan antara kanak-kanak yang memiliki kuasa paling kuat ini, iaitu mampu mengawal minda orang lain. Bagi menyelamatkan dirinya, Ruby menyamar menjadi kanak-kanak berwarna hijau dengan memanipulasi minda doktor yang memeriksanya, sehinggalah di suatu hari, penyamarannya terbongkar. Seorang doktor yang bersimpati denganya, Dr. Cate Connor (Mandy Moore) telah membantu Ruby melarikan diri dari kem tersebut. Tetapi Ruby tidak mempercayai Dr. Cate dan membuat keputusan melarikan diri setelah terserempak dengan remaja lain iaitu Liam (Harris Dickinson), Charles/ “Chubs” (Skylan Brooks) dan Suzume / “Zu” (Miya Cech).

Permulaan filem ini sebenarnya sangat menarik dan membuat penonton tidak sabar untuk menyaksikan apa yang berlaku selepas Ruby berjaya melarikan diri. Tetapi segala-galanya berubah di pertangahan filem. Pengarahnya gagal untuk memberi fokus kepada kesusahan kumpulan remaja ini untuk mengelakkan diri dari menjadi buruan kerajaan dan pemburu kanak-kanak. Sebaliknya, ia perjalanan cerita filem ini terlampau memberi fokus kepada kisah cinta dan konflik remaja diantara Ruby dan Liam. Selain itu juga, terdapat beberapa babak yang saya anggap sebagai sia-sia dan merosakkan perjalanan filem ini seperti babak menari dan ketika mereka berada disebuah pusat beli belah terbiar.

Dari segi lakonan, saya mengagumi kualiti yang ditunjukkan oleh Amandla Stenberg. Dia berjaya menterjemahkan perwatakan Ruby dengan begitu berkesan sekali terutamannya yang melibatkan emosi dan perasaan. Ia mengingatkan saya dengan lakonan Jennifer Lawrence dalam filem The Hunger Games. Skylan Brooks juga turut mencuri perhatian dengan kualiti lakonannya serta beberapa dialognya yang begitu kelakar. Bagi saya, para pelakon remaja berjaya memberikan kualiti lakonan yang cukup baik, tetapi pelakon dewasa agak mengecewakan dan gagal mengatasi pelakon-pelakon yang jauh lebih muda dari mereka.

Terdapat beberapa babak aksi yang boleh tonton disepanjang filem seperti aksi kejar mengejar kereta diantara kumpulan remaja tersebut dengan pemburu yang diupah oleh kerajaan. Aksi-aksi dalam filem ini tidaklah begitu mendebarkan tetapi masih menarik untuk anda tonton. Cuma pertarungan akhir diantara Ruby dan penjahat sebenar tidak begitu ‘intense’ dan terlampau singkat.

Secara keseluruhannya, The Darkest Minds tidak dapat memberikan sebuah filem adaptasi fiksyan remaja yang setanding dengan filem-filem seperti The Hunger Games, Maze Runner ataupun Divergent. Apapun saya anggap ia sebagai pembukaan kepada siri-siri The Darkest Minds akan datang dan diharap filem sekuel seterusnya mampu memberikan impak yang menarik seperti filem-filem adaptasi fiksyen remaja yang lain.

Rating:

The Darkest Minds

6.5

DRAMA / THRILLER

6.5/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

5.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

6.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

8.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here