The Commuter Review

0
114
views

Walaupun usianya sudah mencecah 65 tahun, pelakon Liam Neeson membuktikan, faktor usia bukanlah penghalang untuk beliau membawa watak seorang hero dalam filem yang ber’genre’kan aksi. Beliau membuktikanya dalam filem terbaru The Commuter yang juga filem keempat kolaborasinya dengan pengarah Jaume Collet-Serra (“Unknown,” “Non-Stop,” dan “Run All Night”)

Antara filem-filem aksi lakonan beliau yang cukup terkenal dikalangan kaki-kaki wayang adalah trilogi Taken dan Non-stop yang mana ia memberikan satu aksi yang cukup puas ditonton oleh peminat filem-filem aksi. The Commuter turut menjanjikan sebuah aksi yang cukup thrill buat penonton yang gemarkan lakonan beliau dalam filem.

Saya boleh andaikan, The Commuter hampir mirip seperti filem Non-stop yang diterbitkan pada 2014 dan diselitkan sedikit konsep dari trilogi Taken dimana keluarganya diancam oleh penjenayah.

The Commuter bermula apabila seorang lelaki yang berkerja keras membina kerjaya demi keluarganya, iaitu Michael McCauley (lakonan Liam Neeson) diberhentikan kerja secara tiba-tiba. Masa depan McCauley menjadi gelap selepas usahanya bertahun-tahun untuk memastikan kestabilan ekonomi keluarganya musnah begitu sahaja. Kecewa dengan nasib yang dialami, beliau pulang kerumah dengan menaiki komuter yang menjadi pengangkutan hariannya.

Disebabkan komuter merupakan kenderaan utamanya ke tempat kerja, beliau cukup mengenali setiap penumpang yang selalu menggunakan pengangkutan awam tersebut. Pada hari beliau dipecat, McCauley didatangi oleh seorang wanita misteri yang memberikan satu tugasan (eksperimen sosial menurut wanita tersebut) untuk mencari seorang individu yang tidak patut berada didalam komuter tersebut dengan maklumat yang cukup terhad.

Bagi menunjukan keseriusan tugasan yang diberikan, wanita misteri itu memberikan wang yang banyak sebagai dorongan untuk McCauley melakukan tugasan yang diberikan. Terdesak dengan punca pendapatanya yang hilang akibat dipecat, McCauley mengambil wang tersebut dan menerima tugasan yang diberikan. Bagaimanapun, tugasan sebenarnya adalah satu konspirasi jenayah untuk membunuh seorang saksi penting kejadian bunuh. Disitu bermulalah pencarian McCauley untuk mengesan individu tersebut dalam usaha menyelamatkan saksi tersebut dan dalam masa yang sama cuba untuk menyelamatkan penumpang yang lain serta keluarganya dari diancam oleh penjenayah.

Walaupun menampilkan ramai pelakon seperti  Vera Farmiga, Patrick Wilson, Jonathan Banks, Elizabeth McGovern, dan Sam Neill, The Commuter lebih menjurus kepada ‘one man show’ iaitu aksi McCauley. Watak-watak lain tidak diberi penekanan yang besar oleh pengarah. Walaubagaimanapun, ‘supporting role’ yang ditunjukan oleh para pelakon pembantu, walaupun sekejap, ia tetap memberi kesan dan impak menjadikan jalan cerita yang cukup menarik dan menghiburkan. Vera Farmiga banyak menyumbang suara disebalik telefon manakala Patrick Wilson hanya muncul diawal dan dipenghujung cerita, tetapi kedua-dua pelakon filem Conjuring ini berjaya memberikan kualiti lakonan ‘tip top’ dalam filem ini.

Aksi dan debaran filem The Commuter bagi saya tidak mengecewakan. Diawal filem perjalanan ceritanya sedikit perlahan dan lebih kepada menunjukan konflik yang dihadapi oleh McCauley akibat dibuang, namun segala-galanya berubah selepas McCauley bertemu dengan wanita misteri didalam komuter tersebut. Kerancakkan jalan cerita mula menaik secara perlahan-lahan dan menjadi semakin mendebarkan apabila masa untuk Mccauley menyelesaikan misteri dan menyelamatkan penumpang semakin suntuk. Walaupun aksi Liam Neeson tidak sehebat filem Taken, ia tetap memberi satu kepuasan kepada penonton yang sudah lama tidak melihat dalam filem bergenre aksi.

Plot filem boleh dikatakan ‘quite nice’, dan menarik walaupun hampir menyerupai jalan cerita Non-stop. Klimaks filem juga berjaya memberi sedikit kejutan kepada penonton yang ingin mengentahui bagaimana McCauley mencari penjenayah yang telah menyebabkan dia menjadi kambing hitam dalam satu konspirasi jenayah.

Secara keseluruhannya, Liam Neeson masih mampu memberikan aksi terbaik dalam sebuah filem aksi walaupun usianya semakin lanjut. Walaupun tidak sehebat filem-filem ‘keretapi’ seperti Snowpiercer, Unstoppable, Transsiberian ataupun Source CodeThe Commuter tetap mampu memberi satu kepuasan dan hiburan yang menarik untuk ditonton pengemar filem lebih-lebih lagi bagi mereka yang gemarkan filem-filem aksi thriller.

Rating Kakimuvee: 8/10

The Commuter

The Commuter
7.9

AKSI / THRILLER

9.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

8.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

6.5/10

KARAKTER

9.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here