Review Pacific Rim: Uprising

0
204
views

Saya ingat lagi semasa menonton filem pertama Pacific Rim dipanggung wayang pada tahun 2013. Filem yang diarahkan oleh Guillermo del Toro serta dibintangi oleh pelakon Charlie Hunnam, Idris Elba, dan Rinko Kikuchi itu, bagi saya adalah sebuah filem robot/Kaiju yang sangat menarik kerana jarang sekali kita dapat melihat sebuah filem ‘live action’ yang melibatkan pertarungan diantara robot dan raksasa.

Walaupun banyak filem yang bertemakan Kaiju dan robot seperti franchise Transformers dan Godzilla telah dihasilkan, idea kreatif dari del Toro, Travis Beacham dan juga produksi Legendary Pictures yang menghasilkan filem Pacific Rim telah membuatkan saya beranggapan filem robot/kaiju itu sangat istimewa dan unik kerana ia menunjukan pertarungan diantara robot dan Kaiju dalam satu filem. Apabila pihak studio mengumumkan sekuel, saya antara ribuan peminat sangat teruja dan merasa tidak sabar untuk melihat kesinambungan filem ini selepas beberapa Jaeger yang dipimpin General Stacker Pentecost (lakonan Idris Elba) berjaya menewaskan Kaiju dan seterusnya menutup ruang dimensi yang menjadi pintu masuk raksasa tersebut untuk mengkucar-kacirkan Bumi.

Sekuelnya, filem yang baru ditayangkan dipawagam, Pacific Rim: Uprising menyaksikan Steven S. DeKnight telah mengambilalih kerusi pengarahan dari Del Toro selepas pengarah asalnya terpaksa menolak kerana berhadapan masalah jadual. Malahan sekuel kali ini menyaksikan muka-muka baru seperti John Boyega, Scott Eastwood, Cailee Spaeny serta Jian Tian telah bergandingan dengan pelakon filem pertama seperti Rinko Kikuchi, Charlie Day dan Burn Gorman.

Berlatarbelakang 10 tahun selepas ‘Battle of the Breach’, program pembangunan Jaeger diteruskan dan dalam masa yang sama sebuah syarikat korporat telah membangunkan program dron mereka untuk mengawal bandar-bandar di pesisir pantai pasifik bagi menghadapi ancaman Kaiju yang mungkin akan kembali. Bagaimanapun, keamanan yang dikecapi mereka terobek apabila sebuah Jaeger misteri telah menyerang mereka. Lebih buruk terdapat cubaan pihak tertentu yang cuba untuk membuka kembali portal yang telah ditutup bagi membenarkan Kaiju kembali menyerang Bumi. Bagi mengelakkan Bumi kembali berperang seperti dahulu, Jake Penteperlucost (Lakonan John Boyega) yang merupakan anak kepada General Stacker Pentecost, perlu bangkit bersama-sama rakan sepejuangannya untuk menghalang Kaiju dari memusnahkan Bumi.

Jika dilihat dari senarai filem-filem yang paling dinantikan, Pacific Rim: Uprising adalah antara filem yang tersenarai. Ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada filem pertama serta bilangan peminatnay yang begitu ramai. Tidak dinafikan, saya antara ribuan peminat yang tidak sabar menonton sekuel kali ini dengan harapan ia akan memberikan sebuah filem yang penuh aksi dramatik dan lebih jitu berbanding filem pertama. Namun harapan saya nyata musnah sama sekali kerana saya disajikan sebuah filem kitar semula dari filem pertama sepertimana yang berlaku pada filem Independence Day: Resurgence. Tidak banyak ‘improvement’ yang ditunjukkan dalam sekuel kali ini terutamanya dari segi penceritaannya. Konflik yang sama, bagaimana mereka bina kembali semangat selepas ditewaskan Kaiju, seterusnya membunuh raksasa tersebut dan menyelamatkan Bumi sekali lagi. Tempoh masa diantara filem pertama dan kedua yang cukup panjang gagal dimanfaatkan oleh pihak produksi untuk menghasilkan sebuah sekuel yang mampu mencabar kehebatan filem pertama, ataupun sama taraf setidak-tidaknya. Cuma yang membezakan sedikitkan perjalanan sekuel kali ini, kita dapat melihat dengan lebih dalam motif Kaiju menyerang Bumi, konflik diantara pasukan Jaeger dan syarikat korporat milik Liwen Shao (lakonan Jing Tian) yang membawa kepada ‘twist’ disebalik ancaman Kaiju.

Permulaan filem ini boleh sedikit perlahan, dan kemudian pembangunannya semakin menarik terutamanya selepas melihat sebuah Jaeger misteri menyerang mereka. Namun, setelah mengentahui misteri disebalik kejadian tersebut, graf perjalanan filem ini semakin mendatar dan kemudiannya sehinggalah suku terakhir perjalanan filem ini iaitu semasa pertarungan diantara Jaeger dan Kaiju. Bagi saya bahagian tersebut sangat ‘crucial’ dalam membentuk klimaks yang mampu memberi kepuasan kepada penonton, tetapi sayang, tidak seperti filem pertama yang semakin dramatik dan mendebarkan, Pacific Rim: Uprising hilang elemen dramatik dan kejutan walaupun aksinya yang ditunjukkan boleh dianggap ‘intense’. Steven S. DeKnight dilihat mahu menurut jejak langkah Michael Bay dengan memaksimakan kemusnahan bangunan,letupan dan pertarungan antara Kaiju dan Jaeger dalam babak-babak aksinya. Tetapi, kebanyakan aksinya boleh dijangka, cliche dan tidak memberi kepuasan. Ibaratkan anda menyaksikan pertarungan diantara Autobot dan Decepticon dalam filem Pacific Rim: Uprising.

Selain jalan ceritanya yang ‘recycle, kesan khas yang ditunjukkan dalam filem ini turut mengecewakan saya. Berbanding filem pertama yang lebih menarik dan memukau mata, filem kali ini jelas mereka ‘overuse’ penggunaan kesan khas sehingga ia kelihatan seperti menonton sebuah filem kartun. Sinematografinya juga tidak begitu menarik dan kreatif. Kira tiada satupun babak yang membuatkan saya berkata ‘wow!’. Jelas sekali, kualiti kesan khas dan sinematografinya jauh ketinggalan dari versi del Toro yang berjaya membuatkan penonton terpukau dengan kehebatan grafik dan sinematografi filem tersebut.

Dari segi karakter, banyak persamaan diantara watak utama filem kali ini dengan filem sebelumnya. Jujur saya katakan, perwatakan Jake dan Raleigh, baik dari segi personaliti dan bagaimana mereka kembali menyertai juruterbang-juruterbang Jaeger selepas bertindak berhenti dari progam Jaeger. Bagaimanapun, mujur John Boyega memberikan satu lakonan mantap. Tetapi sayangnya, watak Nate Lambert lakonan Scott Eastwood tidak begitu berkembang, begitu juga watak Amara lakonan Cailee Spaeny. Sepatutnya Pacific Rim: Uprising diberi nama Pacific Rim: Jake Pentecost kerana wataknya sangat-sangat ditekankan sehingga melupakan watak-watak ‘sidekick’ yang lain.

Secara keseluruhannya, Pacific Rim: Uprising boleh dilabelkan sebagai sebuah filem yang bagus terutamanya pada mereka yang mementingkan babak-babak aksi, cuma jika mahu dibandingkan dari filem pertama, ianya jauh ketinggalan. Del Toro mampu membuatkan penonton merasa teruja dengan filemnya, tetapi Steve S. DeKnight gagal meneruskan rentak pengarah sebelumnya. Bagaimanapun, filem ini masih berbaloi untuk ditonton dan jika anda tidak pernah menonton filem pertama, tiada masalah untuk anda memahami perjalanan cerita filem kedua Pacific Rim ini kerana kedua-duanya hampir sama!.

Rating Kakimuvee: 6/10

Pacific Rim: Uprising

0.00
Pacific Rim: Uprising
6

AKSI

7.0 /10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

6.0 /10

PLOT / CERITA ASAL

5.0 /10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

5.0 /10

PEMBANGUNAN KARAKTER

7.0 /10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here