Review KL Special Force

1
1220
views

*Amaran! Review Ini Mengandungi Minor Spoiler*

Nama Syafiq Yusof tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kaki-kaki wayang di Malaysia. Umum tahu, beliau adalah pengarah muda yang cukup berbakat dan berani mempertaruhkan karyanya untuk dipersembahkan kepada penonton yang mahukan sebuah filem tempatan yang mampu memberikan kepuasan dan hiburan yang jitu kepada penonton.

Bermula dari filem SAM: Saya Amat Mencintaimu, bakatnya terus diasahkan dan diperkemaskan menerusi filem-filem seperti Abang Long Fadil, Villa Nabila, Mat Moto dan Desolasi. Kemuncak kejayaan terhasil apabila filem keenamnya yang juga sekuel Abang Long Fadil 2 mencipta rekod menjadi filem tempatan paling laris setakat ini. Kini beliau tampil dengan naskah baru menerusi sebuah filem aksi kepolisan yang berjudul KL Special Force. Persoalan, mampukah filem terbarunya ini menandingi kutipan filem sebelumnya?

KL Special Force mengisahkan sepasukan anggota Unit Tindakan Khas polis yang diketuai oleh DSP Roslan (Lakonan Dato Rosyam Nor) yang cuba menumpaskan sekumpulan perompak bank yang mengelarkan diri mereka Anarkis. Diketuai oleh Ashraf (lakonan Syamsul Yusof), mereka sering melakukan rompakan bersenjata di bank-bank sekitar Kuala Lumpur dan sanggup membunuh sekirannya misi mereka dihalang oleh anggota polis. Kelicikan mereka menyebabkan Roslan dan anggotanya sukar untuk menumpaskan penjenayah, sehingga mendorong Supp. Azmi (lakonan Shaharuddin Thamby) yang juga merupakan ketua Roslan memasukkan Insp. Zul (Lakonan Fattah Amin) untuk membantu Roslan.

Bagaimanapun, konflik berlaku diantara Roslan dan Zul yang mana mereka berdua saling tidak mempercayai antara satu sama lain dan menuduh salah seorang daripada mereka adalah ‘hantu’ untuk kumpulan Anarkis yang menyebabkan kumpulan perompak seringkali dapat melepaskan diri dari buruan polis.

Sumber gambar: Rojakdaily.com

Saya akui, durasi 104 minit filem ini memang padat dengan aksi-aksi tembak menembak diantara pihak polis dan penjenayah. Malah Syafiq juga berani bermain dengan letupan dalam filemnya ini. Jika anda bertanyakan kepada saya, antara aksi filem ini dan Polis Evo, mana lagi menarik? Saya memilih KL Special Force dari segi jumlah aksi berbanding Polis Evo, tetapi jika dilihat dari segi ‘debaran’ dan realistik, saya lebih memilih Polis Evo. Diawal filem penonton sudah disajikan dengan babak pertempuran senjata diantara pihak polis dan kumpulan Anarkis. Nyata babak aksi tidak terhenti disitu dan boleh saya katakan, setiap babak diisi dengan aksi menarik dan konflik antara Roslan dan Zul.

Dari segi lakonan, para pelakon utama telah memberikan satu prestasi memuaskan kepada penonton. Kudos saya berikan kepada Fattah Amin kerana berjaya memberikan satu aksi menarik dan stunt dalam KL Special Force. Malah beliau juga berjaya memberikan satu perasaan ‘meluat’ kepada penonton dengan karakter Insp. Zul terutamanya apabila berkonfrontasi dengan Roslan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna saya memberikan ‘title Man of the Match” kepadanya, gelaran tersebut selayaknya diberikan kepada Rosyam Noor yang benar-benar menghidupkan filem ini. Rosyam Noor berjaya membuatkan watak Roslan menjadi begitu ‘badass’ dan seseorang fokus dalam menyelesaikan misi. Syamsul Yusof juga memberikan satu prestasi yang cukup baik dalam filem lakonannya kali ini. Beliau telah memberikan satu watak penjenayah yang cukup mengerunkan dimata penonton KL Special Force.

Perjalanan ceritanya bagi saya sangat OK, cuma ia terlampau singkat untuk mencapai kepuasan maksima. Walaupun ia diselitkan sedikit babak ‘flashback’ ia tidak memberikan kesan kepada penonton. Malah Syafiq juga tidak mensia-siakan masa tayangan filem dengan plot yang tidak berkaitan dengan objektif utama filem ini. Penamat filem memberikan satu teka teki kepada penonton adakah akan ada KL Special Force 2 ataupun tidak selepas melihat Ashraf berjaya meninggalkan kesan psikologi kepada Insp. Zul.

Syafiq yang juga penulis filem ini turut menyelitkan beberapa mesej tersembunyi yang mahu penonton membuka mata dan minda tentang apa yang berlaku pada masyarakat masakini. Walaupun dunia memiliki undang-undang, kuasa dan wang pasti berada diatas undang-undang. Itu belum dicampur dengan pekara yang sepatutnya kita dilakukan sekiranya menghadapi dugaan besar. Pokok pangkalnya, berbalik kepada tuhan sekirannya menghadapi musibah – jujur saya katakan, terdapat babak dalam filemnya ini yang mampu memberi kesan moral yang besar kepada penonton.

Walaupun begitu, terdapat sedikit kecacatan dalam kesan khas dan fizikal filem KL Special Force. Saya perhatikan terdapat kesan khasnya yang agak ‘cartoonish’. Malah kesan luka, tembak dan darah pada pelakon dan mayat tidak begitu realistik dan kadang kala boleh dipertikaikan. Itu belum dicampur patung mayat yang jelas terpampar dalam filem. Apapun pujian diberikan kepada tim lagak ngeri KL Special Force yang memberikan aksi kemalangan kereta yang begitu ‘real’ dan bombastik!

Secara keseluruhan, KL Special Force mampu memberikan kepuasan kepada penonton yang mahukan sebuah filem tempatan yang penuh padat dengan aksi dan lakonan mantap para pelakonnya. Untuk mengatakan ia sempurna, tidak mungkin tetapi ianya berbaloi untuk poket anda.

Rating Kakimuvee: 7/10

KL Special Force

0.00
7

AKSI / DRAMA

8.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

5.0/10

PLOT / CERITA ASAL

7.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

7.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

8.0/10
Loading...

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here