Review Filem Truth or Dare (2018)

0
118
views

Truth or Dare merupakan filem seram terbaru terbitan produksi Blumhouse Production dan diarahkan oleh Jeff Wadlow. Filem bergenre seram ‘supernatural’ ini ditulis oleh Michael Reisz, Jillian Jacobs, Chris Roach dan pengarahnya sendiri, Jeff Wadlow.

Truth or Dare mengisahkan tentang sekumpulan pelajar kolej yang pergi bercuti di Rosarito, Mexico. Semasa berada di sebuah bar, salah seorang daripada mereka iaitu Olivia telah bertemu dengan seorang lelaki asing secara tidak dirancang. Terpikat dengan karisma lelaki tersebut, Olivia menerima pelawaan lelaki tersebut untuk pergi ke sebuah rumah usang yang terletak dikawasan terpencil. Olivia kemudiannya turut mempengaruhi rakan-rakannya yang lain untuk pergi ke tempat yang dinyatakan oleh lelaki asing tersebut walaupun mereka enggan pada mulannya.

Setibanya disana, lelaki asing itu telah mengajak mereka bermain satu permainan yang diberi nama ‘Truth or Dare’ yang mana mereka perlu berkata jujur jika memilih ‘Truth’ atau melakukan tindakan berani jika memilih ‘Dare’. Bagaimanapun mereka tidak mengentahui niat sebenar lelaki tersebut yang mahu mengumpan mereka masuk ke dalam sebuah permainan yang telah dirasuk oleh syaitan. Bermula dari situ, pelajar-pelajar terbabit terpaksa bermain permainan tersebut dan jika enggan atau gagal, mereka akan mati dalam keadaan mengerikan.

Bagi saya Truth or Dare adalah filem yang ‘senang buat duit’. Tidak tahulah sama ada penulis lakonlayar filem ini malas ataupun ketandusan idea, jalan ceritanya tersangatlah klise, bosan dan mudah dijangka. Sekumpulan pelajar kolej (yang kononnya bijak) pergi ke rumah usang dan menakutkan, ter’main’ permainan yang berhantu, diburu hantu, cuba menyelamatkan diri dan akhirnya mati.

Filem ini mungkin boleh membuatkan saya melupakan jalan ceritanya yang ‘cliche’ itu jika mereka melebihkan babak-babak yang menyeramkan, ngeri, slasher dan menyelitkan sedikit ‘plot twist’. Tetapi sebaliknya mereka lebih mementingkan kisah cinta tiga segi diantara BFF, masalah remaja dan LGBT berbanding memaparkan babak-babak seram itu sendiri. Oh ya lupa, LPF klasifikasikan sebagai 18 keatas, sebenarnya filem ini PG-13, jangkakan lebih banyak kisah masalah remaja dari kisah seram yer.

Pembangunan karakter dalam filem ini sangat ‘lemau’, kualiti lakonan juga sangat mengecewakan, tiada seorang pelakon dalam filem ini berjaya menarik perhatian saya untuk saya berikan kredit. Dari permulaan filem sehingga penghujung, lakonan dan karakteristik watak statik dan tidak berkembang. Yang menarik hanyalah wajah yang berubah seperti Joker dalam filem Batman apabila dirasuk hantu,saya tak tahu nak kata seram ataupun lawak, tetapi sekurang-kurangnya nampaklah sedikit ke’seram’an filem ini.

Secara keseluruhannya, saya meletakkan Truth or Dare dalam filem seram paling teruk yang diterbitkan oleh Blumhouse Production. Nyata tagline ‘The producer of Happy Death Day dan Get Out invite you to play’ berjaya menarik saya untuk menonton filem seram yang paling tidak seram dan tidak menakutkan langsung sepanjang pengalaman saya menonton filem-filem bergenre seram.

Rating Kakimuvee:3/10

Truth or Dare

0.00
3

SERAM

2.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

4.0/10

PLOT / CERITA ASAL

2.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

5.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

2.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here