Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai


Saya akui, Indonesia merupakan pengeluar filem-filem seram yang sangat berkualiti di rantau ini. Jika dilihat beberapa filem seram seperti Kuntilanak, Suzanna: Bernapas Dalam Kubur, Pengabdi Setan dan beberapa filem lain, kita boleh lihat tahap kualiti filem seram negara tersebut jika hendak dibandingkan dengan filem seram negara kita.

Baru-baru ini, saya berpeluang menonton satu lagi filem seram terbaru dari negara seberang yang berjudul Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai. Filem arahan Arie Aziz ini merupakan filem dalam trilogi Arwah Tumbal Nyai dan juga merupakan filem kedua dalam trilogi tersebut selepas filem Arwah Tumbal Nyai: Part Arwah. 

Jika filem sebelum ini diterajui oleh Zaskia Gotik, filem kali ini dibintangi oleh penyanyi terkenal Indonesia, Ayu Ting Ting yang membawakan watak utama iaitu Rosma dan turut dibantu Aqila Herby dan juga penerbit filem ini, Raffi Ahmad.

Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai ini mengisahkan tentang Rosma, yang merupakan seorang pekerja pawagam. Pada suatu malam, Rosma menerima panggilan dari keluarganya yang mengatakan neneknya sedang nazak. Nenek Rosma bagaimanapun meninggal dunia dalam pelukan Rosma dan telah meninggalkan satu kepingan misteri kepadanya. Bagaimanapun, Selepas kematian Neneknya, Rosmah mendapati anaknya iaitu Nayla (Aqila Herby) mula bercakap dan bermain sendirian. Sejak daripada itu, Rosma mengalami gangguan sehingga terpaksa meminta bantuan teman lelakinya, Reno (Raffi Ahmad).

Walaupun filem ini merupakan filem kedua dalam trilogi Arwah Tumbal Nyai, ia tidak mengganggu pemahaman penonton akan perjalanan cerita filem ini. Penceritaan filem ini hanya menumpukan kepada gangguan makhluk halus terhadap Rosma dan orang sekelilingnya. Bagaimanapun pengarahnya tidak melupakan watak cameo dari pelakon Zaskia Gotik (Syurkyani) dan Dewi Perssik (Dewi) bagi menunjukkan hubungkait antara karakter utama dalam trilogi ini.


Secara jujurnya, Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai bukanlah sebuah filem yang ‘wow!’, saya juga tidak mengatakan ia filem seram yang teruk, apa yang boleh saya katakan filem berada ditengah-tengah. Jalan ceritanya sangat mudah dan skripnya juga tidak begitu kuat, namun elemen-elemen seramnya tetap menjadi dan mampu membangkitkan bulu roma dan membuatkan penonton menutup mata. Malah babak ‘jumpscare’ juga sangat mengejutkan dan mampu meluruhkan jantung. Suasana malap dan kadang kala disertakan dengan bunyi latar yang perlahan banyak membantu menaikkan suasana seram apabila menonton filem ini. Jujur saya katakan, saya terpaksa mengaburkan mata kerana tidak mahu terkejut.

Selain itu juga, terdapat juga ‘homage’ dari filem The Conjuring 2 dalam filem ini. Saya tidak mahu memberikan sebarang ‘spoiler’ filem ini, tetapi saya boleh memberi sedikit klu kepada anda, babak Lorraine Warren diserang hantu ‘The Nun’. Boleh bayangkan tak babak filem The Conjuring 2 dalam filem ini? ok bagus.

Dari segi lakonan, Ayu Ting Ting mampu memberikan kualiti lakonan yang baik walaupun karier asalnya dari seorang penyanyi. Beliau berjaya membawakan watak Rosma dengan baik dan mampu menterjemahkan ketakutan yang sepatutnya ditunjukkan dalam watak. Aqila Herby juga tidak mengecewakan walaupun pelakon tersebut masih berusia 9. Raffi Ahmad seperti biasa, lakonnannya dalam filem seram agak teruk.

Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai mungkin tidak sehebat filem-filem seram legenda Indonesia, tetapi ia masih mampu untuk ditonton oleh peminat-peminat filem seram terutamanya yang gemarkan elemen ‘jumpscare’ yang agak mendebarkan. Selain itu juga, ‘end credit’ filem ini juga mampu menaikan perasaan penonton yang mengentahui kesudahan trilogi ini. Jadi kepada yang ingin merasaikan ketakutan dan kejutan yang melampau, anda boleh saksikan filem ini yang akan ditayangkan dipawagam-pawagam tempata pada 11 April ini.