Review Ant-Man And The Wasp

0
77
views

Bagi saya, Ant-Man dianggap ‘underdog’ berbanding filem-filem Marvel yang lain, tidak diberikan harapan yang tinggi dan berkemungkinan besar tidak akan diingati sangat oleh peminat berbanding karakter-karakter adiwira yang lain. Tetapi peranan Ant-Man dalam filem Captain America: Civil War telah mengubah segalanya, karakter tersebut terus menjadi kegemaran para peminat filem Marvel. Malah ketiadaannya dalam filem Avengers: Infinity War akibat dikenakan tahanan rumah oleh FBI turut dirasai peminat yang mahu melihat aksinya mengecil atau membesar dalam menentang konco-konco Thanos.

Persoalan peminat tentang apa yang dilakukan oleh Scott Lang sebelum berlakunya Infinity War dijawab dalam filem sekuel Ant-Man and The Wasp. Peyton Reed yang mengarahkan filem pertama kembali dalam sekuel kali ini dengan membawakan idea yang menarik, jalan cerita yang sangat ringan, lucu dan menghiburkan. Berbeza dengan adiwira-adiwira lain, Scott Lang sangat terbaik menjadi “adiwira” untuk anaknya. Sepanjang tahanannya dirumah, dia cuba untuk menjadi ayah terbaik untuk anaknya iaitu Cassie Lang (Abby Ryder Fortson). Sementara itu, Hank Pym (Michael Douglas) bersama anaknya, Hope (Evangeline Lilly) merancang untuk cuba menyelamatkan isterinya, Janet Van Dyne (Michelle Pfeiffer) yang hilang dalam “quantum realm”. Scott mengalami mimpi yang melibatkan Janet dan telah menghubungi Pym. Mereka kemudian telah bekerjasama untuk menyelamatkan Janet dan dalam masa yang sama perlu menentang dua penjahat yang mahu mencuri teknologi Hank Pym iaitu Ghost (Hannah John-Kamen) dan Sonny Merch (Walton Goggins).

Peyton Reed sekali lagi mengulangi sentuhan filem pertama dalam sekuel kali ini. Beliau berjaya mengimbangi babak-babak yang melibatkan aksi serta adegan-adegan lucu. Seperti filem pertama, saya suka melihat aksi koreografi mereka yang sangat kreatif. Adiwira mengecil dan kembali normal semasa melibatkan babak berlawan dengan para penjahat. Selain itu juga, babak kejar – mengejar boleh dikatakan sangat menghiburkan dan kelakar, bayangkan anda melihat kereta bersaiz normal berlumba dengan kereta bersaiz Hot Wheel.

Plotnya juga tidak begitu merumitkan, sangat mudah dan senang difahami oleh penonton, tetapi teknologi sains (kebanyakkannya adalah fiksyen) yang ditunjukkan boleh menyebabkan penonton sukar untuk memahaminya.

Paul Rudd telah memberikan satu kualiti lakonan yang cukup hebat dan lucu, saya suka lakonannya bersama Evangeline Lilly dan Abby Ryder, jelas keserasaiannya terserlah apabila bersama-sama kedua-dua pelakon tersebut. Evangeline Lilly diberi lebih banyak ‘screentime’ kali ini berbanding filem pertama. Malah aksinya sebagai The Wasp juga dilihat lebih menonjol berbanding Ant-Man, Lilly jika dilihat begitu bersemangat dalam filem kali ini, mungkin kerana teruja membawakan karakter adiwira. Michael Pena pula sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dengan telatah serta ‘cerita’ lucunya. Manakala Abby Ryder Fortson akan membuatkan hati penonton mencair melihat kecomelannya sebagai Cassie.

Penjahat dalam filem kali ini nampak berbeza berbanding penjahat-penjahat Marvel yang lain. Kedua-duanya tidak kelihatan seperti mahu menghancurkan bumi atau cuba menguasai negara atau dunia. Mereka lebih kepada suvival dan juga keuntungan. Tidak tipikal tetapi kurang memberi impak sebagai penjahat. Karakter Ghost sepatutnya mampu memainkan lebih peranan sebagai penjahat, tetapi karakternya dibayangi satu lagi karakter penjahat iaitu Sonny Merch. Ghost mempunyai motif yang lebih kuat berbanding Sonny, malah abilitinya (sebenarnya kesakitannya) mampu memberi cabaran yang lebih hebat kepada Ant-Man dan The Wasp untuk menentangnya.

Secara keseluruhannya, Ant-Man and The Wasp adalah sebuah filem adiwira yang sangat menghiburkan. Ianya boleh dianggap sebagai pencuci mulut kepada penonton selepas melihat dua filem serius Marvel iaitu Black Panther dan Avengers: Infinity War. Oh, seperti kebiasaanya, filem Ant-Man and The Wasp mempunyai dua babak post credit dimana salah satunya sangat penting untuk anda tonton.

Rating Kakimuvee: 8/10

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here