Review Alita Battle Angel

0
88
views

Jika filem Alita Battle Angel tidak ditukar tarikh tayangannya, pasti saya akan jatuh cinta dengan filem ini lebih awal. Sukar untuk gambarkan betapa hebat dan cantiknya filem arahan Robert Anthony Rodriguez ini. Sudah tentu, Rodriguez tidak keseorangan dalam membikin filem ini. Beliau dibantu dengan individu yang pernah menghasilkan filem hebat Titanic dan Avatar iaitu James Cameron dan Jon Landau yang bertindak selaku penerbit.

Alita Battle Angel merupakan filem yang didapatasikan dari manga berjudul Gunnm karya Yukito Kishiro. Bertemakan aksi cyberpunk, Ia mengisahkan tentang sebuah cyborg yang bernama Alita (Rosa Salazar). Cyborg tersebut dijumpai oleh seorang doktor iaitu Dr. Dyson Ido (Christoph Waltz) ditapak pembuangan sampah. Ido kemudiannya membawa cyborg tersebut ke kliniknya dan memperbaiki cyborg tersebut dan menjaganya. Alita mempunyai masalah memori sehinggalah memori kembali sedikit demi sedikit apabila dia terlibat dengan pertarungan antara dirinya dan penjahat yang juga merupakan cyborg.

Alita Battle Angel ini boleh dikatakan agak seimbang. Kesan visualnya sangat sempurna dan cantik terutamanya pada karakter Alita. Sebagai sebuah filem yang bergantung sepenuh kepada kesan khas, mereka berjaya memaparkan suasana post-apocalypse yang begitu unik dan realistik. Aksi-aksi pertarungan yang melibatkan Alita dan musuhnya juga tidak mengecewakan, visual yang cantik dan digabungan seni pertarungan yang ‘intense’ telah membuatkan saya sangat berpuas hati dengan bahagian aksi filem ini .

Perjalanan ceritanya juga bagi saya agak baik dan tidak membosankan. Pihak produksi tidak melupakan plot asas yang ada dalam versi manga.dimana ia menunjukkan Alita sebagai cyborg yang kehilangan memori dan juga sebagai ‘pemburu-pahlawan.

Penulis skrip filem ini tidak terburu-buru untuk menamatkan ceritanya dan menjual babak aksi semata-mata. Ia memasukkan sedikit konflik yang ada pada Alita, kisah percintaan yang penuh beremosi diantara cyborg dan manusia serta beberapa babak ‘Flasback’ yang sedikit sebanyak mendedahkan siapakan diri sebenar Alita. Paling menarik, penamat filem ini membuatkan penonton tidak sabar menantikan filem seterusnya.

Saya suka dengan karakter yang ada pada Alita. Sifat kemanusiannya lebih ‘manusia’ dari manusia. Emosi sedihnya memberi kesan kepada saya yang menontonnya. Rosa Salazar benar-benar berjaya mengekpresikan perasaan dan watak Alita dalam filem ini. Kudos saya berikan kepada bekas pelakon trilogi filem Maze Runner itu.

Bagaimanapun terdapat beberapa karakter yang sedikit kurang. Ia dilihat terlampau menumpukan kepada karakter Alita sahaja Sebagai contoh, karakter seperti ayah angkatnya iaitu Ido, Dr. Chiren (Jenifer Connely) serta ‘love interest’ Hugo (Keean Johnson) sedikit tenggelam. Selain itu juga, karakter villain seperti Vector (Mahershala Ali) dan Grewishka (Jackie Earle Haley) juga tidak begitu ditonjolkan kejahatannya dalam filem ini. Mungkin kerana mereka mahu menguatkan karakter Alita untuk filem pertama ini. Bagaimanapun saya suka dengan watak cyborg Zapan lakonan Ed Skrein. Wataknya sebagai pemburu-pahlawan boleh dikatakan sangat ‘macho’. Diharapkan, jika filem kedua dihasilkan wataknya masih wujud kerana dia berpotensi sebagai musuh kepada Alita.

Secara keseluruhannya, Alita Battle Angel adalah filem adaptasi manga yang ‘menjadi’. dan boleh dimasukkan sebagai sebuah filem yang boleh diulang berkali-kali tanpa rasa jemu seperti mana filem Avatar atau Ready Player One. Penceritaanya yang menarik ditambah dengan visual yang cantik serta karakter Alita yang menawan mampu menarik penonton turut ‘mencintai’ filem ini.

Rating Kakimuvee: 9/10

 

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here