Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Rampage Review


Selepas Tomb Raider, sebuah lagi filem adaptasi permainan video telahpun menemui penonton pada tahun 2018 ini. Berbeza dengan Tomb Raider yang merupakan reboot dari filem asal, Rampage keluaran Warner Bros. merupakan sebuah filem baru yang diadaptasikan dari permainan arked yang dikeluarkan pada tahun 1986.

Memandangkan permainan arked Rampage merupakan sebuah permainan video yang mudah dan tidak mempunyai jalan cerita, ia memberi kebebasan kepada pihak studio untuk merencanakan perjalanan filemnya serta latarbelakang filem Rampage tanpa perlu risau untuk melihat sama ada filem ini menepati ciri-ciri yang ditunjukkan dalam versi permainan video sepertimana filem-filem Tomb Raider, Resident Evil atau Assassin Creed. 

Filem Rampage arahan Brad Peyton ini dibintangi oleh pelakon terkenal, Dyawne Johnson yang membawakan watak Davis Okoye, seorang primatologis disebuah zoo yang terletak di San Diego. Davis merupakan seorang yang sangat mencintai haiwan dan beliau ‘berkawan’ dengan seekor gorilla albino yang bernama George. Suatu hari, beberapa buah kanister telah terjatuh dari angkasa lepas selepas sebuah stesen angkasa yang menjalankan satu eksperimen rahsia di angkasa telah mengalami kegagalan dan meletup. ketiga-tiga kanister tersebut mempunyai patogen yang sangat merbahaya dan salah satunya telah jatuh ke kandang zoo yang didiami oleh George. Patogen tersebut telah terlepas dari kanister dan menjangkiti George sehinggakan ia memberi kesan kepada perubahan fizikal haiwan tersebut dengan menjadi lebih besar. Kandungan didalam kanister tersebut bukan sahaja menjangkiti George, malah turut menjangkiti dua haiwan lain yang berada ditempat berlainan dan kedua-dua haiwan tersebut bermutasi sehingga menjadi haiwan gergasi.

Kemalangan tersebut telah memberi ancaman besar kepada manusia, Davis Okoye perlu bekerjasama dengan  Dr. Kate Caldwell (lakonan Naomie Harris) untuk menyelamatkan George, mencari jalan menghentikan dua haiwan gergasi serigala gergasi serta buaya dan mencari dalang kepada kejadian tersebut.

Memandangkan ia diadaptasikan dari sebuah permainan video yang hanya mempunyai latarbelakang dan cerita yang ringkas, jadi tiada masalah kepada studio yang mencipta satu kisah ‘backstory’ dan jalan cerita filem ini tanpa terikat dengan ‘originaliti’ permainan video. Cuma, apabila saya perhatikan keseluruhan jalan ceritanya, saya lihat ia hampir mirip seperti filem Godzilla 2014 arahan Gareth Edwards. Tiga makhluk gergasi menuju ke sebuah bandar yang sama, mengganas dan akhirnya bertarung sesama sendiri. Mungkin sekadar inspirasi untuk menghasilkan jalan cerita. Bagaimanapun jalan cerita Rampage tidaklah begitu dragy, ianya mudah difahami, menghiburkan dan juga.. tipikal untuk sebuah filem yang melibatkan hero tunggal seperti Dwayne Johnson. Selain itu juga, mereka turut menyelitkan beberapa humor yang mampu membuatkan anda ketawa dan meredakan sedikit ketegangan selepas anda disajikan dengan aksi-aksi yang begitu ‘intense’!


Bercakap soal aksi filem inibagi saya Rampage telah memberikan sebuah aksi yang agak ‘mengiurkan’ sehinggakan mampu membuatkan anda akan berkata ‘wow!’ selepas melihat babak-babak aksinya. Antara babak aksi filem Rampage yang saya pilih paling menarik dan menyeramkan adalah semasa pasukan tentara upahan yang diketuai Burke (lakonan Joe Manganiello) memburu serigala gergasi di dalam sebuah hutan. Selain itu juga, babak semasa ketiga-tiga haiwan gergasi itu mengamuk di bandar juga mampu membuatkan penonton terpegun dan tidak menutup mata melihat kemusnahan yang ditunjukkan dalam babak itu.

Dwayne Johnson sekali lagi diberikan watak ‘hero-serba-boleh-dan-susah-mati’, watak tipikal yang sering diterima olehnya dalam kebanyakkan filem aksi lakonannya. Lakonannya tidak jauh bezanya dengan filem-filem lain yang dibintanginya, walaubagaimanapun, setipikal mana lakonan Dwayne Johnson, saya dapat rasakan satu aura dalam diri pelakon tersebut yang mampu membuatkan penonton terus melihat aksinya dalam setiap filem beliau. Lakonan Naomie Harris juga tidak mengecewakan, manakala Malin Åkerman juga berjaya bawakan watak penjahat yang cukup menyakitkan hati. Cuma sayangnya Jeffrey Dean Morgan tidak diberikan begitu banyak masa untuk muncul dalam filem walaupun wataknya, iaitu Harvey Russell sebenarnya sangat menarik.

Secara keseluruhannya, filem Rampage berjaya memberikan aksi-aksi yang cukup ‘intense’ walaupun jalan ceritanya serta karakter wataknya sebenarnya agak tipikal dan cliche. Bagi yang meminati filem-filem aksi yang melibatkan makhluk gergasi, Rampage adalah filem yang sangat berbaloi untuk ditonton, lebih-lebih lagi apabila ia dibintangi oleh Dwayne Johnson.

Rating Kakimuvee: 7/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee