Pinjamkan Hatiku (2017) Review

1
200
views

Tajuk Filem: Pinjamkan Hatiku

Pengarah: Osman Ali

Penulis: Osman Ali

Pelakon:  Ayda JebatShaheizy SamFarid Kamil

Tarikh Tayangan: 30 November 2017

“Cliche, tipikal, tiada idea” – itulah ungkapan yang sering diucapkan oleh pengemar filem dan penonton televisyen tempatan mengenai karya-karya tempatan yang bergenrekan romantik. Sejujurnya penonton sudah bosan dengan gaya penceritaan yang sama yang diterapkan oleh pembikin-pembikin filem dan drama tempatan dalam menghasilkan sebuah karya seperti ini.

Bagi saya, apa yang diperkatakan oleh mereka itu benar. Sejak kebelakangan ini, saya dapati filem-filem mahupun drama yang bergenrekan romantik tidak memberi apa-apa makna dan value kepada penonton. Tonton slot-slot drama jam 7, dan filem-filem romantik tempatan yang lain, boleh dikatakan agak sama gaya penceritaannya, konflik yang tiada beza antara satu sama lain dan malah kualiti lakonannya pula tidak memberi apa-apa kesan kepada penonton.

Bagaimanapun, karya terbaru Osman Ali yang berjudul Pinjamkan Hatiku ini bagi saya berbeza dari tipikal filem-filem bergenre romantik tempatan. Masih mengekalkan konsep percintaan 3 segi, Pinjamkan Hatiku tidak menampilkan konflik keluarga dalam menceritakan permasalahan percintaan diantara hero dan heroin, tetapi sebaliknya menceritakan pengorbanan si lelaki yang mahu memastikan kekasihnya meneruskan hidup dan bahagia dalam menempuh hari-hari mendatang.

Apa yang menariknya tentang filem ini, ia tidak memperagakan kereta-kereta mewah, rumah-rumah besar mahupun makan di hotel-hotel lima bintang serta baju-baju branded, daya tarikan filem ini adalah dialog, kualiti lakonan dan emosi yang cuba disampaikan kepada penonton. Jujur saya katakan, filem ini penuh dengan kata-kata yang cukup romantis, babak-babak yang boleh membuatkan anda tersenyum dan adakalanya membuatkan perasaan anda tersentuh. Boleh dikatakan, anda dapat rasainya hampir kesemua perasaan emosi dalam filem ini.

Saya sangat suka dengan kualiti lakonan Shaheizy Sam, Ayda Jebat dan Farid Kamil dalam filem ini. Masing-masing berjaya mengekpresikan perwatakan mereka dengan begitu baik sekali sehinggakan ia memberi satu kesan emosi kepada penonton. Ayda Jebat yang membawakan watak Laila berjaya membawa perwatakannya sebagai seorang gadis yang sangat rindukan kekasihnya, manakala Sam yang membawakan watak Naufal pula benar-benar menghayati wataknya sebagai seorang lelaki yang sedang menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Boleh dikatakan lakonan para pelakon dalam filem sangat-sangat sempurna. Air mata, gelak ketawa, sakit semuanya ditunjukkan dengan sepenuh hati. – oh yer, Sam benar-benar lakukan transformasi fizikalnya bagi menjayakan watak Naufal – sesuatu yang jarang dilakukan oleh pelakon-pelakon tempatan.

Sinematografinya dan angle filem ini sangat superb, tone nya juga membuatkan mata ini segar untuk kekal menonton dari mula sehingga tamat filem ini. Skornya juga sangat tenang cuma, saya kurang gemar mereka kerap mengulangi lagu yang sama setiapkali babak-babak sedih dimainkan. Jika anda menonton filem ini, pasti anda ingin tahu dimanakah lokasi pengambaran ini dilakukan kerana permandangan landskapnya sangat cantik dan tenang.

Bagaimanapun terdapat beberapa kesilapan kecil dalam filem ini semasa saya menontonnya. Antaranya Lokasi hospital yang ditunjukkan dalam filem ini boleh dipertikaikan serta babak suspen yang bagi saya tidak begitu suspen. Apapun kesilapan ini berjaya ditutup dengan kualiti lakonan, jalan cerita dan visual filem ini.

Secara keseluruhannya, Pinjamkan Hatiku ini sebuah filem romantik yang sangat romantis untuk anda tonton. Pengarah Osman Ali sekali lagi berjaya membuatkan penonton mengalirkan air mata dalam naskah terbarunya ini. Saya sebenarnya jarang untuk memuji filem-filem tempatan bergenre romantik, tetapi untuk filem Pinjamkan Hatiku, saya berikan pengecualian kerana ianya sebuah filem sangat berbaloi untuk ditonton. Saya sarankan, jangan menonton filem ini berseorangan, sebaliknya bawalah isteri, kekasih atau crush anda menonton filem Pinjamkan Hatiku pada 30 November 2017.

Rating Kakimuvee: 7.5/10\

Pinjamkan Hatiku

Pinjamkan Hatiku
7.6

ROMATIK, DRAMA

8.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

8.0/10

VISUAL / PRAKTIKAL EFFEK

7.0/10

LAKONAN AKTOR / KARAKTER

8.0/10
Loading...

1 COMMENT

  1. Sejujurnya part sedih x betul-betul sampai kat hati saya. Isteri saya pun cakap macam tuu gak. Macam ada yang tak kena.. ada yang tak logik.. saya sedikit kecewa kerana bagi saya Osman Ali pastinya sudah memberi yang terbaik buat setiap hasil karyanya. Dari segi cinematography mmg cukup puas hati.. rasa mcm layan cerita hindustan Dilwale plakk sbb tempat yang diorang shooting banyak yang cantik2… Overall saya rasa kurang chemistry laaa antara Laila dan Naufal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here