Pengabdi Setan (2017) Review

0
85
views

Saya masih terbayang-bayang penampakkan wajah ‘si ibu’ sewaktu sedang menaip review filem ini. Seolah-olah sedang diperhatikan dari belakang oleh entiti itu yang mengharapkan saya berkata ‘baik-baik’ sahaja mengenai filem beliau, Pengabdi Setan 2017 yang diarahkan oleh Joko Anwar.

Saya belum pernah lagi berkesempatan menonton versi asal yang diterbitkan pada tahun 1980 arahan Sisworo Gautama Putra. Difahamkan, versi asal jauh lebih menyeramkan dan lebih baik dari apa yang dihasilkan oleh sutradara Joko Anwar ini. Bagi saya, yang baru berkesempatan menonton versi ‘remake’ ini, Pengabdi Setan boleh dikatakan berjaya membuatkan saya tidak senang duduk dengan keseraman dan ketakutan yang ditunjukan dalam filem ini.

Berlatarbelakangkan zaman 80-an, Pengabdi Setan ini mengisahkan sebuah keluarga yang tinggal jauh di kawasan terpencil terpaksa menjaga ibu mereka yang telah lama menderita akibat penyakit misteri. Kesempitan wang menyebabkan mereka sukar untuk merawat Ibu mereka sehinggalah si Ibu meninggal dunia. Setelah kematian isterinya, si Bapak perlu pergi ke kota untuk mencari wang demi menebus kembali rumah mereka dan terpaksa meninggalkan anak-anak iaitu Rini, Tony, Bondi dan Ian bersama nenek mereka, Rahma Saidah.

Namun setelah pemergian si Bapak, keluarga tersebut muka mengalami gangguan misteri dan cukup menakutkan. Entiti yanng menyerupai si Ibu telah datang melawat rumah dan menganggu adik-beradik tersebut – ianya berpunca daripada kisah lampau si Ibu yang melakukan perjanjian dengan syaitan.

Pengabdi Setan ini menyajikan babak-babak ‘terkejut’ dengan baik sekali terutamanya dia awal perjalanan dan pertengahan filem. Elemen seram dan suspen berjaya digarap dengan baik sehinggakan membuatkan penonton berdebar-debar menantikan apakah yang bakal berlaku selepas itu. Elemen-elemen tersebut kemudiannya di’blend’ dengan skor yang perlahan dan mendayu tetapi masih memberi perasaan thrill kepada penonton untuk sentiasa berjaga-jaga menantikan ‘setan’ yang bakal muncul dipaparan wayang.

Penampakan susuk ‘setan’ yang cuba diterjemahkan oleh Joko Anwar begitu menjadi, begitu realistik dan begitu menakutkan, begitu juga suasana malap dan tone filem yang dark dan horror, mirip filem-filem seram seperti The Conjuring dan Insidious – semua elemen inilah yang menjadi kekuatan filem Pengabdi Setan 2017.

Perjalanan filem tidaklah begitu rumit walapun terdapat sedikit twist dalam filem ini. Joko Anwar bijak membuatkan penonton rasa ‘tersilap’ tanggapan mengenai Ian. Cuma jalan ceritanya begitu flat dan klimaks yang tidak begitu mengancam. Permulaan cerita filem bagi saya sangat baik, ia menunjukkan kehidupan sebuah keluarga dan juga membina karakter-karakter watak, namun jalan ceritanya semakin mendatar sehinggalah ke penghujung filem.

Malah 10-15minit terakhir filem tidak memberi apa-apa kesan kepada penonton, baik dari segi keseraman dan juga ‘feel’ terhadap perjalanan filem – agak kelakar bagi saya secara tiba-tiba mayat berkapan (zombi barangkali) menyerang keluarga si Bapak. Mungkin si sutradara Joko Anwar terlampau menumpukan babak-babak seram sehingga mengabaikan jalan ceritanya.

Dari segi lakonan pada saya cukup memuaskan, lakonan Tara Baso sebagai Rini bagi saya memuaskan dan berjaya menunjukan sifat sebagai anak sulung dalam keluarga dan gadis yang ingin tahu mengenai misteri yang berlaku pada keluarga walaupun pada mulanya enggan mempercayai pekara tahyul. Begitu juga dengan Tony lakonan Endy Arfian yang sangat ‘cool, tetapi yang paling mencuri perhatian lakonan anak kecil M. Adhiyat  sebagai Ian. Suka saya melihat lakonannya dan perwatakannya sebagai kanak-kanak bisu yang tidak takut pada hantu dan kelakar. Bront Palarae .. saya tidak sangka bahasa Indonesianya cukup superb! tidak hairanlah Bapak Bront kini telah di”klaim” oleh produksi-produksi di Indonesia.

Secara kesimpulannya, Pengabdi Setan mampu membuatkan anda menutup mata dan telinga kerana tidak sanggup menatap wajah si Ibu yang menyeramkan itu dan mendengar loceng panggilan si Ibu. Ternyata Joko Anwar berjaya membawa penonton merasai ketakutan yang dihadapi oleh keluarga Bapak, cumanya jika perjalanan filemnya begitu pada dan mengancam, ia mungkin memberi lebih impak kepada para penonton. Kepada yang belum menonton filem Pengabdi Setan, jangan lupa untuk menontonnya di pawagam-pawagam berhampiran.

Rating Kakimuvee: 7/10

Pengabdi Setan (2017)

Pengabdi Setan (2017)
7

SERAM / THRILLER

8.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

6.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

7.0/10

KARAKTER

7.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here