Operasi Komando Israel di Entebbe Diterjemahkan Dalam Filem 7 Days in Entebbe

0
162
views

Selepas 4 tahun kejadian pembunuhan beramai-ramai atlet Israel di Munich, Jerman yang berlaku pada tahun 1972, dunia dikejutkan lagi dengan sebuah lagi insiden yang melibatkan negara haram itu. Tanggal 27 Jun 1976, sebuah pesawat Air France Flight 139 yang membawa sejumlah 246 penumpang telah berlepas dari Tel Aviv, Israel menuju ke destinasinya di Paris, Perancis.

Penumpang-penumpang pesawat tersebut kebanyakannya terdiri daripada warganegara Israel dan beragama Yahudi serta dari beberapa negara lain seperti Perancis dan Britain. Sebelum menuju ke destinasinya yang terakhir, Flight 139 telah singgah sebentar di lapangan terbang Athens, Greece untuk mengambil 58 penumpang yang lain termasuklah 4 penumpang yang bakal merampas pesawat tersebut. Sebaik sahaja berlepas, pesawat tersebut telah dirampas serta-merta oleh 2 rakyat Palestin dari Popular Front for the Liberation of Palestine – External Operations (PFLP-EO) dan 2 rakyat Jerman iaitu Wilfried Böse dan Brigitte Kuhlmann, yang merupakan pengganas dari organisasi Revolutionary Cells, kumpulan pengganas terkenal dan merbahaya di Jerman.

Pesawat kemudiannya telah diarahkan untuk menuju ke lapangan terbang Beghazi, Libya untuk mengisi minyak dan seterusnya meneruskan penerbangan mereka di lapangan Entebbe, Uganda. Disana, perampas telah disertai oleh beberapa anggota pengganas yang lain dan kesemua mereka telah mendapat sokongan dari pemerintah negara Uganda, Presiden Idi Amin. Kesemua tebusan telah ditempatkan disebuah terminal yang tidak digunakan dan dikawal oleh para perampas termasuklah anggota tentera Uganda.

Filem Operation Thunderbolt, 1977

Pihak perampas telah membuat tuntutan sebanyak $5 juta dollar serta meminta Israel dan Jerman membebaskan 53 rakyat Palestin serta beberapa individu Jerman yang ditahan dipenjara atas kesalahan terlibat dengan aktiviti militan dan keganasan. Dari jumlah tersebut, sebanyak 40 rakyat Palestin telah ditahan di penjara Israel. Pihak Israel bagaimanapun tidak memenuhi permintaan perampas berkenaan, dan usaha diplomatik gagal menyelesaikan drama tebusan itu.  Tidak mahu menunggu lama, tentera Israel telah merancang sebuah operasi rahsia dan dianggap mustahil, iaitu menghantar pasukan komando mereka merentasi beberapa negara dengan menggunakan kapal terbang dan menyerang lapangan terbang Entebbe dalam usaha mereka membebaskan para tebusan.

Operasi yang dikenali sebagai Operation Entebbe atau Operation Thunderbolt telah dilakukan pada 4 Julai 1976 apabila para komando Israel berjaya mendaratkan kapal terbang mereka di lapangan terbang itu secara rahsia, dan menyerang lokasi pengganas untuk membebaskan para tebusan. Operasi tersebut berjaya diselesaikan walaupun berlaku beberapa kematian baik dipihak Israel, pengganas dan juga tebusan. Kejayaan operasi yang dilakukan oleh tentera Israel itu telah menjadi buah mulut beberapa negara  besar terutamanya dikalangan pihak tentera kerana keberanian, dan kebijaksanaan strategi ketenteraan mereka dalam melakukan operasi menyelamatkan tebusan.

Entebbe atau dikenali sebagai 7 Days in Entebbe akan menemui penonton tempatan tidak lama lagi

Sejurus selepas operasi ketenteraan Israel itu, tiga filem berdasarkan insiden berkenaan telah dihasilkan iaitu filem Victory at Entebbe 1976,  Raid on Entebbe 1977 dan Operation Thunderbolt 1977. Pada tahun 2011, filem The Last King of Scotland telah dihasilkan Berbeza dengan 3 filem sebelum ini, The Last King of Scotland mengisahkan seorang doktor yang berkhidmat untuk Idi Amin, Presiden Uganda semasa insiden rampasan kapal terbang itu berlaku. Kini filem terbaru mengenai operasi Entebbe telah dihasilkan sekali lagi oleh studio penerbitan filem Participant Media dan Working Title Films yang berjudul 7 Days in Entebbe. 

7 Days in Entebbe diarahkan José Padilha dan ditulis oleh Gregory Burke, filem ini sekali lagi akan menzahirkan kejadian yang berlaku pada 1976 itu, bermula dari berlakunya kejadian rampasan kapal terbang sehinggalah operasi menyelamat tebusan yang berlaku dalam tempoh 7 hari. Dua pelakon hebat iaitu Rosamund Pike dan Daniel Brüh akan membawakan watak sebenar dua perampas warganegara Jerman dalam filem tersebut iaitu Brigitte Kuhlmann dan Wilfried Böse manakala beberapa karakter yang anda cukup kenali seperti Yitzhak Rabin, Shimon Peres dan Ehud Barak juga akan ditunjukkan dalam filem ini.

Bagi yang meminati filem-filem drama thriller seperti ini, anda berpeluang menyaksikan 7 Days in Entebbe dipawagam yang akan mula ditayangkan pada 29 Mac ini.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here