Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Mission: Impossible – Fallout Review


Agak sukar sebenarnya untuk mengekalkan prestasi baik sesebuah franchise, lebih-lebih lagi apabila ia sudah memiliki lebih dari 3 filem. Bagi franchise Mission Impossible, ia tidak mustahil untuk ia terus releven dan memberikan sebuah filem aksi yang menarik untuk ditonton oleh kaki-kaki wayang.

Jujur saya katakan, francais Mission Impossible sememangnya tidak mengecewakan. Sejak dari filem pertama sehinggalah yang terbaru, Mission: Impossible – Fallout ianya masih mampu memberikan sebuah filem aksi pengintipan yang cukup mendebarkan. Terima kasih kepada lakonan Tom Cruise yang membuatkan ia menjadi francais kegemaran saya sehinggakini.

Christopher McQuarrie yang mengarahkan filem Mission: Impossible – Rogue Nation kembali bekerjasama dengan Tom Cruise dalam menghasilkan Mission: Impossible – Fallout. Jelas sekali filem ini merupakan kesinambungan dari filem Rogue Nation dimana beberapa watak dalam filem tersebut muncul dalam filem Fallout dan mempunyai kaitannya secara langsung.

Selepas berjaya menewaskan organisasi Syndicate, Ethan Hunt dan pasukannya kembali melakukan satu misi mustahil IMF bagi mendapatkan kembali teras plutonium yang dicuri oleh organisasi The Apostles yang mempunyai kaitan dengan Syndicate. Bagaimanapun, misi mereka menemui kegagalan selepas Ethan terpaksa membuat satu keputusan yang agak sukar sehinggakan plutonium tersebut dicuri oleh penjahat. Dipersoalkan tentang kesetiaanya, diburu pembunuh serta bekas sekutunya, Ethan perlu mengejar masa bagi menghalang dari berlakunya malapetaka besar yang dirancang oleh organisasi The Apostles.

Apa yang membuatkan Mission: Impossible – Fallout  ini sangat menarik adalah babak-babak aksi dan kejar mengejar di kota Paris. Seperti filem-filem Mission Impossible sebelumnya, ianya memberikan sebuah aksi yang begitu mendebarkan dan jitu serta membuatkan penonton fokus dengan aksi yang ditunjukkan. Walaupun sesetengah aksi ‘dilapik’ dengan kesan visual CGI, kesan praktikal tetap diberi keutamaan. Aksi terjunan HALO, melompat diantara bangunan, memandu helikopter dan beberapa aksi lain semuanya benar-benar dilakukan tanpa perlu bergantung 100% dengan kesan visual CGI dan ianya dilakukan sendiri oleh Tom Cruise. Inilah yang membuatkan saya benar-benar ingin menonton filem ini dipanggung wayang.


Jalan cerita filem Fallout ini bagi saya ‘cliche’ dan hampir sama dengan beberapa filem Mission: Impossible sebelumnya. Ethan di’kambing hitam’kan selepas berlakunya kejadian-kejadian buruk adalah pekara biasa seperti mana yang ditunjukkan dalam filem-filem sebelumnya. Malah kejutan yang cuba dibuat semuanya boleh dijangka sama sekali, lebih-lebih selepas mereka mendedahkan siapakah ‘musung berbulu ayam’ filem ini melalui trailer. Namun, ianya tidak membosankan dan tidak meleret, malah pembinaannya semakin menarik dan mendebarkan. Ini kelebihan yang ada pada Mission Impossible, isi yang sama tapi perkembangan isinya yang menarik dan tidak sia-sia.

Seperti biasa, Tom Cruise berjaya mengekalkan trofi ‘Man of the Match’ dari filem pertama sehinggakini. Walaupun usianya semakin meningkat, ia tidak menghalang untuk aktor ini memberikan prestasi terbaiknya dan kesanggupannya melakukan aksi lagak ngerinya sendiri. Selain itu juga, personaliti karakter Ethan Hunt dipertingkatkan dalam filem ini apabila ia mendedahkan sifat prihatin Ethan terhadap orang-orang terdekatnya. Karakter August Walker lakonan Henry Cavill bagi saya agak kurang ‘badass’ berbanding karakter-karakter penjahat Mission Impossible yang lain. Malah lakonannya sebagai penjahat juga tidak menyakinkan dan agak kekok, mungkin ini kerana dia baru pertama kali membawakan watak yang berbeza dalam karier lakonannya.

Secara keseluruhannya, Mission: Impossible – Fallout benar-benar tidak mengecewakan dan mampu memberikan satu kepuasan maksima kepada penonton yang datang menyaksikan filem ini dipanggung wayang. Saya juga yakin, aksi yang sangat mendebarkan dalam filem ini akan membuatkan anda ingin menontonnya berulang kali.

Rating Kakimuvee: 8.5/10


Related posts

Tarikh Tayangan Mission: Impossible 8 Dianjak Hampir Setahun

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee