Merobek Kisah Sebenar Disebalik Filem-Filem IP Man

0
546
views

Mesti ramai dikalangan peminat-peminat filem pernah menonton siri filem Ip Man lakonan Donnie Yen. Bermula dari filem pertama yang diterbitkan pada tahun 2008 sehinggalah filem ketiga yang diterbitkan pada 2015, Donnie Yen telah mempersembahkan perjalanan hidup bekas mahaguru seni mempertahankan diri Wing Chun dari zaman penaklukan Jepun keatas negara China pada tahun 1937 sehinggalah Ip Man menjalani kehidupannya di Hong Kong sekitar tahun 1950an.

Jika anda menonton ketiga-tiga filem berkenaan, anda pasti merasakan perjalanan hidup Ip Man begitu mencabar. Dari menentang jeneral-jeneral tentera Jepun sehinggalah bertarung dengan orang asing yang terlibat dengan kongsi gelap. Persoalannya, adakah benar perjalanan bekas mahaguru Wing Chun itu seperti yang dipertontonkan?

Mari kita lihat perjalanan hidup sebenar individu yang bernama Ip Man atau nama sebenarnya Yip Kai Man.

Kehidupan awal

Yip Man atau juga dikenali sebagai Ip Man dilahirkan pada 1 Oktober 1883 disebuah bahagian di negara China yang dikenali sebagai Foshan. Beliau merupakan anak ketiga dari empat beradik dan lahir dari keluarga yang kaya raya dan mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik.

Antara anak-anak murid Ip Man – Dapat kenalipasti Bruce Lee?

Ip Man mula mempelajari seni mempertahankan diri Wing Chun semasa berusia 7 tahun dari guru yang bernama Chan Wah-shun. Ip Man merupakan pelajar terakhir Chan, tetapi kebanyakkan teknik dan skill Wing Chun dipelajari dari Wu Chung-sok, pengikut paling tua Wing Chun. Ia disebabkan umur yang semakin tua menyukarkan Chan Wah-shun untuk mengajar Ip Man. Antara pesanan terakhir Chan Wah-shun sebelum meninggal dunia adalah meminta Wu Chung-sok terus mengajar Ip Man.

Semasa berusia 15 tahun, Ip Man telah berpindah ke Hong Kong dan semasa berusia 16 tahun, beliau telah memasuki kolej St. Stephen – sekolah untuk keluarga kaya dan orang asing di Hong Kong. Di sana Ip Man telah bertemu dengan seorang individu yang bernama Leung Bik. Lelaki tersebut telah mengajak Ip Man untuk beradu tenaga selepas dia melihat Ip Man menewaskan seorang anggota polis. Ip Man memenuhi pemintaan lelaki tersebut, tetapi tewas dengan mudah. Selepas pertarungan singkat itu, Leung Bik mendedahkan dirinya adalah pelajar senior kepada Chan Wan-Shun (guru pertama Ip Man) dan anak kepada Leung Jan, guru kepada Chan Wan-shun. Ip Man kemudiannya telah mempelajari Wing Chun secara mendalam dengan Leung Bik.

Ip Man kemudian telah pulang ke tempat asal, Foshan semasa berusia 24 tahun. Disana beliau telah menjadi anggota polis dan telah mengajar seni mempertahankan diri Wing Chun kepada orang bawahannya, rakan-rakan serta saudara terdekatnya. Walaupun telah menurunkan ilmu kepada orang lain, Ip Man pada masa itu belum membuka sekolah seni mempertahankan diri secara rasmi disana. Antara anak-anak muridnya pada masa itu adalah Chow Kwong-yue, Kwok Fu, Lun Kah, Chan Chi-sun, Xu He-Wei and Lui Ying. Bagaimanapun, tidak semua anak muridnya meneruskan legasi Wing Chun.

Ip Man telah berkahwin dengan Cheung Wing-sing dan mempunyai dua orang anak lelaki yang juga bakal menjadi guru kepada seni Wing Chun dimasa akan datang.

Era perang Sino-Jepun kedua.

Semasa perang diantara China dan Jepun pada 1937 sehingga 1945, Ip Man dan keluarganya berpindah ke kampung anak murid iaitu Kwok Fu dan menumpang dirumah anak muridnya itu sehingga perang tamat. Semasa era tersebut, Ip Man telah kehilangan harta bendanya disebabkan perang. Pada era itu juga, pihak Jepun telah beberapa kali berjumpa dengan Ip Man untuk meminta beliau mengajar tentera-tentera penakluk seni mempertahankan diri Wing Chun.

Kehidupan di Hong Kong

Selepas perang tamat, Ip Man telah pulang ke kampung halamannya, Foshan dan meneruskan karier beliau sebagai anggota polis. Bagaimanapun, Ip Man dan keluarganya terpaksa melarikan diri ke Hong Kong selepas Parti Komunis China memenangi perang saudara yang berlaku selepas era penaklukan Jepun. Ip Man melarikan diri disebabkan beliau adalah pegawai Parti Kuomintang, sebuah parti nasionalis China. Malah beliau dikatakan mengajar seni mempertahankan diri kepada tentera-tentera Nasionalis China – punca kenapa dia melarikan diri ke Hong Kong.

Salah satu babak dalam filem Ip Man 2008

Di Hong Kong, Ip Man telah membuka sekolah seni mempertahankan diri Wing Chun. Bagaimanapun kehidupannya disana tidak semewah dahulu. Kehidupannya di Hong Kong begitu sukar seringkali berhadapan dengan masalah kewangan. Anak-anak murid beliau antara yang banyak membantu Ip Man menyelesaikan masalah kewangan.

Kebanyakan pelajar-pelajar Ip Man di Hong Kong tidak menghabiskan pelajaran mereka. Ada yang berhenti selepas beberapa bulan belajar dan ada juga yang meninggalkan seni Wing Chun selepas tewas ditangan seni mempertahankan diri yang lain. Bagaimanapun, beberapa lama sebelum kematian Ip Man, beberapa anak muridnya memperolehi kemenangan apabila menentang pelajar-pelajar seni mempertahankan diri yang lain. Kejayaan tersebut telah meningkatkan reputasi Ip Man sebagai seorang guru seni mempertahankan diri.

Hari-hari gelap Ip Man berterusan apabila beliau disahkan menghadapi kanser pada 1972. Beberapa bulan sebelum kematiannya, beliau telah meminta 2 orang anak dan pelajarnya merakam beberapa pergerakan Wing Chun. Namun beliau hanya sempat merakam beberapa pergerakan sahaja. Tujuannya hanya satu, bagi menunjukan seni Wing Chun yang sebenar dan mengelakkan dari bekas-bekas anak murid beliau mengajar teknik Wing Chun yang salah.

Pada 2 Disember 1972, Ip Man atau Yip Kai Man telah meninggal dunia disebabkan kanser. Kematiannya telah meninggalkan legasi seni mempertahankan diri Wing Chun kepada dunia. Ramai bekas-bekas anak murid Ip Man meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh beliau, yang paling terkenal dan kita cukup kenali adalah Bruce Lee.

Fakta vs Fiksyen.

Walaupun kita tahu, tiga filem Ip Man yang dihasilkan pada tahun 2008, 2010 dan 2015 menceritakan kisah hidup legenda Kung Fu dunia itu, ketepatan jalan cerita tersebut amat jauh menyimpang. Sebagai contoh dalam filem Ip Man 1 yang diterbitkan pada 2008, beberapa fakta mengenai perjalanan Ip Man telah ditokok tambah untuk menambah ke’menarik’an filem tersebut. Jika filem pertama menunjukan Ip Man mengajar hampir kesemua pekerja kilang kapas seni Wing Chun semasa zaman penaklukan Jepun, hakikat sebenarnya, Ip Man hanya mengajar sebilangan kecil individu yang bekerja di kilang tersebut dan kebanyakkann adalah kanak-kanak.

Malah pertarungan diantara Ip Man dan General Miura (jeneral tentera Jepun) tidak pernah berlaku sama sekali. Beliau cuma didatangi beberapa pegawai tentera Jepun untuk meminta mengajar seni Wing Chun kepada berapa anggota tentera penakluk.

Boleh dikatakan banyak kisah hidup Ip Man dalam ketiga-tiga filem ditokok tambah oleh barisan penulis skrip filem berkenaan. Bagaimanapun, hasil kreativiti dan inovatif mereka dalam mengolah cerita perjalanan hidup Ip Man dengan lebih menarik dan menghiburkan berjaya membuatkan kita mengenali seorang legenda dalam dunia seni mempertahankan diri.. iaitu Ip Man

Sumber:

https://en.wikipedia.org/wiki/Ip_Man
http://www.kwokwingchun.com/about-wing-chun/ip-mans-wing-chun/ip-mans-biography/
http://www.wslwingchun.my/ip-man-the-movie-separating-fact-from-fiction
https://www.biography.com/people/yip-man-21370115

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here