Lebuhraya Ke Neraka, antara karya terbaik Mamat Khalid

0
741
views

Kredit : Harian Metro

Bukan saja memiliki mesej mendalam, filem Lebuhraya Ke Neraka arahan Mamat Khalid menjanjikan kelainan untuk memenuhi cita rasa penggemar filem genre ketuhanan dan dakwah.

Tidak keterlaluan jika filem ini dianggap antara karya terbaik Mamat.

Bagi pengarah yang lebih dikenali dengan genre komedi ini, dia sudah lama memendam hasrat mengarahkan filem serius dan ketuhanan seperti itu.

“Sebagai penggiat filem, banyak genre lain yang ingin diteroka. Oleh itu, apabila dapat idea, saya tidak menunggu lama untuk mengarahkan filem ini kerana ia dekat dengan masyarakat.

“Terpulang kepada penonton untuk menganggap ia filem ketuhanan atau duniawi kerana pihak kami sajikan kedua-duanya sekali. Saya juga buat filem ini kerana ia penghijrahan diri sendiri sekali gus untuk memberi kesedaran kepada diri, ahli keluarga dan penonton.

“Saya tidak mahu nama hanya dikenali dengan Hantu Kak Limah dan cerita zombi saja, sebaliknya biarlah turut dikenali dengan filem genre ketuhanan pula sekali gus akan menjadi rujukan untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem itu di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mamat, filem berkenaan menjalani penggambaran di sekitar Pengkalan Hulu, Perak pada 2012.

“Penggambaran berlangsung selama sebulan pada Ramadan. Bayangkan barisan pelakon dan kru berpuasa ketika menjayakan penggambaran filem ini.

“Filem ini menceritakan mengenai Bob lakonan Datuk Awie yang sudah bertaubat. Sebab itu watak Bob juga lebih ‘cool’ ketika berdialog dengan syaitan. Saya juga berdoa semoga menjadi seperti watak Bob yang kuat iman ketika berdialog dengan syaitan seperti dipaparkan dalam filem ini ,” katanya .

Selain Awie, filem terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution ini menampilkan lakonan mantap Khir Rahman, Dazrin Kamaruddin, Miera Leyana, Fatin Syahirah dan Pekin Ibrahim.

Lebuhraya Ke Neraka bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai 4 Mei ini.

Terperam enam tahun

Mamat mengakui filem Lebuhraya Ke Neraka terperam selama enam tahun kerana ia membabitkan banyak perbincangan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ini.

“Sebelum buat filem ini, saya sudah merujuk skripnya dengan Mufti Perak kerana tidak mahu orang cakap saya buat filem syok sendiri. Hasil perbincangan itu, banyak babak yang menyentuh sensitiviti agama terpaksa ditukar sepanjang tempoh selama enam tahun itu.

“Saya percaya sekarang adalah masa terbaik untuk menayangkan filem ini kerana pihak kami sudah memberikan sentuhan terbaik untuk sajian penonton.

“Kalau boleh, saya ingin menayangkan wajah malaikat Munkar dan Nakir tetapi pihak mufti hanya membenarkan saya mengeluarkan suaranya saja dalam filem ini. Tidak ada potongan babak daripada LPF tetapi mereka hanya minta beberapa dialog yang menyentuh sensitiviti agama disenyapkan.

“Saya juga gembira apabila filem ini dapat klasifikasi P13 kerana mahukan kanak-kanak dan remaja menonton cerita ini dan menghayati mesejnya ,” katanya.

Bagaimanapun, Mamat menafikan filem itu mengambil inspirasi daripada beberapa filem hebat Hollywood antaranya Ghost Rider dan Meet Joe Black.

“Sebenarnya, saya menghasilkan filem ini mengikut imaginasi dan temu bual dengan pihak yang lebih arif mengenai alam roh. Saya juga tidak paparkan khutbah kerana tidak mahu ia nampak klise seperti filem ketuhanan lain.

“Kita sendiri tidak tahu bagaimana sebenarnya alam roh itu di sana. Apa yang ditampilkan dalam filem ini hanya bayangan saja. Mengenai watak Tyson (syaitan) lakonan Khir Rahman pula, saya anggap Khir pilihan yang tepat untuk melakonkan watak ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, penampilan barisan pelakon muda dalam filem ini seperti Miera dan Fatin yang tampil dengan wajah tanpa sebarang solekan untuk disesuaikan dengan karakter masing-masing,” katanya.

Sinopsis

Lebuhraya Ke Neraka memaparkan kisah sekumpulan geng motosikal berkuasa tinggi yang diserang penyakit misteri secara tiba-tiba ketika berhenti di suatu kawasan untuk berehat.

Bob (lakonan Awie) yang mengetuai konvoi itu tidak mengalami penyakit misteri itu seperti rakannya.

Ketika Bob mencari bantuan, dia terserempak dengan seorang lelaki misteri, Tyson yang bersetuju membantunya.

Namun, Bob perlu membuat keputusan sama ada dia mahu menyelamatkan rakan atau mempertaruhkan nyawa mereka sebagai balasan kerana pertolongan Tyson.

 

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here