KL Wangan (2017) Review

0
2336
views

Sebelum ini, filem-filem tempatan yang bertemakan perlumbaan kereta banyak menjurus kepada sukan drift berbanding perlumbaan jalanan yang melibatkan jalan lurus dan ‘top speed’ kereta mencecah sehingga hampir 300km/j. Contoh yang paling dekat kita boleh lihat adalah Impak Maksima, KL Drift, dan Kampung Drift semuanya melibatkan pemanduan drifting dalam menggambarkan perlumbaan jalanan.

Tetapi filem terbaru arahan Pekin Ibrahim, KL Wangan dilihat cuba keluar dari dunia drifting yang selalu ditonjolkan dalam filem-filem perlumbaan kereta tempatan. Mengambil nama sebuah lebuhraya di Jepun yang terkenal dengan perlumbaan kereta pada waktu malam, KL Wangan telah membawa trend perlumbaan jalanan yang terkenal di Jepun itu ke lebuhraya di kota Kuala Lumpur. Mengisahkan permusuhan tradisi diantara Yudi (Lakonan Faizal Hussein) dan Hong (lakonan Kazuto Soon) dalam dunia perlumbaan haram di kota Kuala Lumpur. Ejay (lakonan Pekin Ibrahim) yang telah menyelamatkan Hong dari kemalangan, telah diminta oleh Hong untuk berkerja dengannya dan membalas dendam terhadap Yudi menerusi perlumbaan-perlumbaan kereta yang diatur oleh kedua-dua seteru itu.

Ramai penonton filem tempatan beranggapan filem Pekin ini cuba meniru konsep Fast and Furious dan Wangan Midnight (sebuah siri manga Jepun), tetapi bagi saya, KL Wangan mempunyai identitinya yang tersendiri. Saya berpendapat, Pekin berjaya menghasilkan sebuah filem bertemakan perlumbaan kereta mengikut acuannya sendiri tanpa perlu meniru bulat-bulat konsep yang telah ditonjolkan filem-filem luar negara.

Perjalanan cerita filem ini boleh dikatakan ‘straight foward’, lebih menjurus kepada kisah antara Hong yang mahu menewaskan Yudi dalam perlumbaan-perlumbaan kereta. Tetapi penceritaannya tidak begitu kuat,lemah dan tidak memberi satu kepuasan kepada saya untuk merasai kehebatan cerita ini sepertimana hebatnya kereta-kereta ‘street racing’ yang ditonjolkan dalam KL Wangan. Terlampau banyak ‘backstory’ yang mengganggu perjalanan cerita ini, monolog yang tidak perlu untuk sebuah filem aksi dan babak-babak yang tidak ‘significant’ dengan perjalanan cerita.

Saya tidaklah mengharap filem ini seperti Initial D, Tokyo Drift, Rush mahupun Fast and Furious, tetapi saya berharap terdapat sedikit ‘proper introduction’ mengenai permusuhan diantara Hong dan Yudi serta cerita mengenai Ejay mempelajari teknik perlumbaan dari Hong untuk menandingi Yudi. Namun apa yang saya harapkan tiada dalam filem ini, Ejay seolah-olah dilahirkan untuk menjadi pelumba kereta (sedangkan tiada ciri pelumba dalam diri Ejay) dan Hong pula sebaliknya sekadar mampu berdialog dengan memberi kata-kata semangat selepas kalah perlumbaan. Mujur perjalanan ceritanya tidak terlampau ‘draggy’ dan masih boleh ditonton.

Saya memuji usaha Pekin dan krewnya menghasilkan aksi-aksi perlumbaan kereta dalam filem ini. Deruman dan kelajuan kereta memang begitu intense dan menyedapkan telinga. Setup, teknikal dan info mengenai kereta dan enjin juga digarap dengan begitu baik dalam filem ini – mirip seperti filem-filem awal Fast and Furious, tetapi aksi dan kehebatan perlumbaan kereta dalam filem ini di’cacat’kan dengan aksi ditempat duduk pemandu yang tidak begitu menyakinkan. Pelumba dilihat begitu tenang serta tiada ekspresi wajah yang menunjukan mereka sedang memandu dalam keadaan kelajuan yang cukup tinggi. Malah saya tidak dapat merasai sebarang debaran apabila babak-babak didalam kereta ditunjukkan seperti gear shifting dan kesukaran mengawal steering kereta yang sedang dipandu laju. Jika kita menonton filem sepert Fast and Furious atau 5 minit pertama filem Baby Driver, bahagian ditempat pemandu selalu ditekankan dengan penuh dramatik dan berekspresi. Biarlah berapa puluh kali gear ditukar, kaki kerap menekan clutch dan pedal minyak, wajah berpeluh dan berkerut mengawal kereta, sekurang-kurangnya penonton dapat merasai ketegangan pemandu berlumba pada kelajuan yang cukup tinggi.

Aksi bertumbuk diawal filem boleh dianggap ok bagi saya. Koreografi dari Donny Alamsyah cukup cantik dan memukau, cuma terlampau fokus pada aksi 1 vs 1 walaupun terdapat banyak watak antagonis pada waktu itu. Satu lagi aksi pergaduhan dalam filem ini adalah semasa Hong menyerang tempat Yudi, bahagian aksi ini saya merasa sedikit kelakar kerana mirip seperti pertarungan “Royal Rumble” dalam rancangan WWE. Cuma, babak aksi yang saya pilih paling menarik adegan Ejay mengejar Yudi sehingga berlaku kemalangan – ia memberi sebuah aksi dan kesan kemalangan yang cukup dramatik dan realistik.

Dari segi lakonan, saya suka dengan prestasi pelakon otai Faizal Hussein. Beliau berjaya membawa watak Yudi yang ‘badass’ dengan baik sekali. Cuma sayang, terlampau melebihkan tabiatnya yang kaki alkohol mencacatkan sedikit perwatakan karakter tersebut. Watak-watak lain seperti Hong, Ejay dan Olivia bagi saya biasa-biasa sahaja, tidak memberikan impak yang besar kepada saya sebagai penonton malah saya langsung tidak terasa ‘feel’ melihat watak-watak mereka dalam filem ini.

Secara keseluruhannya, KL Wangan mampu memberikan aksi yang dimahukan oleh pengemar filem-filem yang bertemakan perlumbaan kereta. Pertunjukan kereta-kereta legenda dalam filem ini sememangnya dapat menarik pengemar filem tempatan untuk datang menonton, tetapi kepuasannya tidak dapat disampaikan sepenuhnya kepada mereka. Bagaimanapun, ia masih sebuah filem yang sedap untuk ditonton. Melihat pada potensi filem ini, saya yakin, kesinambungan KL Wangan bakal diteruskan lagi oleh Pekin dimasa akan datang.

Rating Kakimuvee: 6/10

KL Wangan

0.00
6

AKSI / LUMBA KERETA

7.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

4.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

6.0/10

KARAKTER

6.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here