The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget Review

0
74
views

The Kid From The Big Apple yang diterbitkan pada tahun 2016 boleh dikatakan berjaya baik dari segi ‘financial’ dan juga pengiktirafan diperingkat antarabangsa. Filem yang bergenrekan drama kekeluargaan ini bukan sahaja diberi pengiktirafan dalam Festival Filem Malaysia ke-28, malah ia juga berjaya membawa pulang beberapa anugerah di Festival Filem Antarabangsa Macau yang ke-7 pada tahun 2015.

Mengambil peluang diatas kejayaan filem pertama, pengarahnya Jess Teong kembali mengarahkan naskah terbarunya yang berjudul The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget.

Filem kedua ini menyambung dari apa yang ditinggalkan dalam filem pertama. Sarah (lakonan Tan Qin Lin) yang telah berpisah dengan datuknya (Lakonan Ti Lung) dan tinggal bersama ibunya, Sophia (Lakonan Debbie Goh) di US telah kembali ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menghadiri perkahwinan teman rapat ibunya. Kanak-kanak tersebut mengambil peluang untuk berjumpa dengan datuknya yang begitu dirindui walaupun pada awalnya (dalam filem pertama) mereka sering berbalah dan bergaduh disebabkan perbezaan budaya.

Bagaimanapun, kepulangan Sarah dan ibu ke Malaysia tidak seindah seperti yang disangka, apabila datuk mereka mula mengalami penyakit dementia – yang menyebabkan memori datuknya merosot dan kemungkinan akan melupakan semua individu yang dikenalinya termasuklah Sarah dan Sophea.

Filem The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget ini bermain dengan kuat emosi para penonton. Kita boleh lihat Sarah, Sophea serta beberapa teman rapat datuknya melakukan pelbagai cara untuk memastikan datuknya kekal mengingati mereka. Malah Sophea perlu menuruti beberapa permintaan bapanya yang mahu melihat beliau berkahwin dan gembira sebelum bapanya hilang ingatan buat selama-lamanya.

Terdapat beberapa babak yang membuatkan saya terkedu melihatnya, antara yang babak yang cukup ‘memorable’ dalam diri saya adalah semasa datuk Sarah meracau mencari Isterinya telah meninggal beberapa puluh tahun sebelum itu – menandakan ingatan datuknya semakin kritikal.

Dalam kesedihan terdapat juga beberapa babak lucu dalam filem ini. Watak Ah Boa dan ibubapanya iaitu Uncle Meng (lakonan Kelvin Leong) dan Ivy (lakonan Lenna Lim) begitu mencuri perhatian dengan karakter-karakter kelakar mereka. Telatah mereka membuatkan penonton melupakan sebentar akan kesedihan yang ditunjukan dalam filem ini.

Jujur saya katakan, mesej yang cuba disampaikan kepada audience oleh pengarah Jess Teong menerusi filem begitu menjadi. Filem ini sangat ‘slow pace’ dan banyak memaparkan kehidupan keluarga Sarah dan juga teman-teman datuknya, tetapi setiap bahagian dalam filem ini mempunyai begitu banyak mesej dan realiti kehidupan masakini. Sayangi keluarga terutamanya ibu bapa dan semangat setiakawan adalah mesej yang paling penting yang disampaikan Jess Teong ini, dan mesej itu juga tepat menuju jauh ke sanubari para penonton.

Selain jalan ceritanya kuat, lakonan para pelakonnya juga begitu baik sekali. Saya tidak mengenali pelakon-pelakon ini, tetapi setiap dari mereka telah memberi ‘faktor wow!’ kepada saya. Mereka berjaya mengekspresikan karakter mereka dengan baik sekali. Tan Qin Lin sekali lagi menjadi Man of The Match untuk filem ini. Lakonannya begitu menjadi dan berjaya membawa watak Sarah dengan berkesan sekali. Tidak hairanlah beliau menjadi pelakon kanak-kanak terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-28 dan juga di Festival Filem Antarabangsa Macau – kerana dia mempunyai bakat yang sangat dalam bidang lakonan. Tidak lupa juga karakter Ah Boa – seorang kanak-kanak yang nakal tetapi baik hati. Telatahnya kerap membuatkan penonton ketawa.

Sinematografi dan tone filem ini juga boleh dikatakan sangat cantik. Saya suka tengok visualnya yang kemas dan tidak bercelaru, begitu juga dengan muzik latarnya juga cukup sedap didengari.

Secara keseluruhannya, filem The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget sangat sesuai untuk mereka yang gemarkan filem-filem bertemakan kekeluargaan dan ringan. Selain menunjukan realiti kehidupan masyakarat pada masakini, ia juga sarat dengan mesej-mesej positif. Boleh dikatakan filem ini tiada langsung unsur-unsur negatif walaupun terdapat sedikit konflik yang diambil dari filem pertama dimana Sophea bertemu kembali bekas teman lelakinya. Penamat filem ini juga bercampur-baur, sedih dan gembira disatukan untuk menjadi penamat yang begitu indah buat sekuel kali ini. Percayalah, jika filem ketiga dihasilkan, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya nanti.

Rating Kakimuvee: 8.5/10

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here