Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Jwanita Review


JWANITA

PENGARAH Osman Ali mungkin sinonim dengan filem Ombak Rindu yang mendapat kutipan luar biasa ketika ia ditayangkan sekitar tahun 2011.

Bagaimanapun ia tidak pernah menyekat keinginannya untuk terus dibayangi dengan karya yang diadaptasi daripada novel popular itu sebaliknya terus melangkah kehadapan dalam menghasilkan lebih banyak naskah bermutu dan luar dari kebiasaan.

Pernah mengarahkan filem seram pada 2007 iaitu Puaka Tebing Biru, Osman kembali dengan buah tangan terbaharu dengan genre sama berjudul Jwanita.

Ternyata penantian selama lapan tahun untuk menonton karya seram dari Osman tidak menghampakan kerana percaturannya menerusi Jwanita nyata berbaloi.

Menampilkan aktres Maya Karin yang sinonim dalam filem-filem arahan Osman, Jwanita pada pandangan penulis penuh dengan debaran malah sukar dijangka yang mampu membuatkan penonton tidak berganjak untuk mengetahui pengakhirannya.


marsha milah

Sungguhpun mengakui mendapat inspirasi menulis skrip naskah berkenaan berdasarkan himpunan kes pembunuhan yang dibacanya menerusi akhbar namun Osman bijak menyusun plot dan jalan cerita agar tampak menarik dan menyakinkan.

Pembukaan filem tersebut juga cukup tersirat apabila Osman memperkenalkan Jwanita lakonan Maya Karin dengan penuh dramatik apabila memperlihatkan wanita berkenaan di tengah sebuah tasik sambil membaca mantera dan berlumuran darah.

Kekuatan lima minit pertama yang diketengahkan sudah cukup memberi gambaran kepada penonton naskah itu bukan sekadar karya biasa.

Osman juga banyak bermain dengan naratif sebagai medium di antara watak dan penonton dalam menterjemahkan isi sesuatu babak terutamanya menggambarkan kehidupan Jwanita yang penuh dendam dan keliru sejak kecil.

Bagaimanapun ia sedikit menjengkelkan apabila Osman terlalu berusaha untuk menggambarkan diri Jwanita kerana barangkali bimbang penonton berasa keliru namun adalah lebih baik ia disimpan sedikit untuk imaginasi penonton.

Untitled

Dari segi teknikal pula, boleh dikatakan Osman tidak malas dalam menghidupkan landskap dengan pemilihan lokasi menarik dan bersesuaian dengan tema filem berkenaan.

Ini termasuk babak-babak pembunuhan dan penampakkan hantu dalam filem berkenaan dan penggunaan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI).

Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Jwanita lakonan Maya Karin yang mengalami masalah mental akibat pernah didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya yang mengamalkan ilmu hitam.

Jwanita kemudiannya bertemu dengan Dr. Farhan lakonan Bront Paralea yang merawatnya selepas dia membunuh kedua ibu bapa angkatnya dalam satu kejadian penuh tragis.

Namun, segalanya musnah apabila Farhan yang dicintainya merupakan tunang kepada adik kandungnya sendiri iaitu Julaika yang terpisah daripadanya sejak kecil. Selepas menghilangkan diri pada hari perkahwinan Farhan dan Julaika, Jwanita muncul semula.

Jwanita kembali dengan perwatakannya yang jauh berbeza sejak itu pelbagai peristiwa pelik berlaku melibatkan keluarganya.

Sementara itu, pujian harus diberi kepada Maya yang berjaya melunaskan tanggungjawab menggalas peranan sebagai Jwanita yang pada pengamatan penulis cukup mengagumkan sehingga sukar mencari titik lemah pada lakonannya.

Maya sekali lagi membuktikan dia seorang pelakon berbakat besar apabila dengan hanya ekspresi wajahnya sahaja sudah cukup mencetuskan aura penuh debaran dalam filem berkenaan.

Tidak hairan, Osman sendiri takut untuk menyapa Maya ketika berada di set ekoran dia terlalu menghayati wataknya itu.

Penulis tidak terkejut sekiranya Maya sekali lagi dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) tahun hadapan.

Manakala, persembahan Marsha juga tidak menghampakan dan bekas peserta program Akademi Fantasia itu benar-benar menjadi orang lain dalam filem berkenaan.

Marsha berjaya membuktikan bahawa dia bukan sekadar pelakon watak wanita gedik dan seharusnya pengarah di negara ini mula memandang serius terhadapnya.

Tidak ketinggalan, Umie Aida menerusi watak bomoh – ia suatu kemenangan buat aktres itu yang pernah membawa peranan sama dalam filem Dukun arahan Dain Said yang malangnya diharamkan tayagannya.

Umie benar-benar memberi nafas kepada peranannya itu dan jelas ia seperti melepaskan gian gara-gara Dukun tidak pernah ditayangkan.

Osman beruntung kerana mendapat pemain-pemain yang komited dalam menjayakan watak masing-masing sehingga ia mampu menutup cacat cela yang ada pada kompenan lain karyanya itu.

Jwanita pada keseluruhannya adalah sebuah naskah membanggakan dari Osman dan karya seperti ini diperlukan oleh industri kita yang semakin hilang sinarnya.

Rating: PG13
Genre: Seram / Thriller
Pengarah: Osman Ali
Penulis:
Pelakon: Maya Karin, Datin Seri Umie Aida, Bront Palarae, Marsha Milan Londoh, Cristina Suzanne
Edaran: Nuansa Sdn. Bhd dan Ehsan Production.

sumber: mStar Online


Related posts

Bront Palarae, Uqasha Senrose Bergandingan Dalam Filem Seram ‘Sumpahan Jerunei’

Kakimuvee

Review Filem: Harum Malam (2023)

Ahmad Fariszuan

Dari Hong Kong Ke Hollywood, Ini Pelakon Malaysia Yang Pernah Membintangi Filem Luar Negara

Kakimuvee

Maya Karin Bakal Kembali Dalam Filem Ketiga “Pontianak Harum Sundal Malam”

Is Mohd

Bront Palarae Bawa Pulang Trofi Di Anugerah Televisyen Asia ke-25

Zulaikha

Bront Palarae Tercalon Dalam Anugerah Televisyen Asia (ATA) ke-25

Kakimuvee