Insidious 4: The Last Key (2018) Review

0
675
views

Insidious The Last Key

Review filem pertama untuk tahun 2018 dan filem kedua yang saya tonton pada tahun ini. Insidious 4: The Last Key menjadi antara filem 2018 yang saya nanti-nantikan untuk saya tonton dipawagam. Filem bergenre seram supernatural yang diarahkan oleh pengarah filem seram The Taking of Deborah Logan, Adam Robitel merupakan filem keempat dalam franchise Insidious dan bersambung dari filem Insidious: Chapter 3 yang dikeluarkan pada tahun 2015. Bagi yang tidak biasa dengan ‘timeline’ filem kali ini, ia merupakan prekuel kepada dua filem pertama Insidious yang ditayangkan pada 2010 dan 2013.

Masih mengekalkan Elise (lakonan Lin Shaye) sebagai watak utama, The Last Key kali ini membawa kisah memburu roh jahat di rumah yang pernah diduduki oleh Elise semasa kecil. Selepas Elise bertemu ‘sidekick’ nya, Tucker (lakonan Angus Sampson) dan Spec (lakonan Leigh Whannell) dalam filem Insidious: Chapter 3, beliau dan 2 pembantunya itu mula bekerja secara serius untuk membantu individu yang mengalami gangguan roh jahat.

Elise yang kembali dari persaraan sebagai psikik, mula menerima ‘pelanggan’nya pertama iaitu Ted Garza (lakonan Kirk Acevedo), namun setelah menerima maklumat dari pelanggannya itu, Elise terpaksa menolaknya. Dihantui dari kisah silamnya semasa kanak-kanak, Elise memanggil Tucker dan Spec dan menerima bantuan yang diperlukan oleh Ted Garza, iaitu membantu Ted mengatasi gangguan entiti jahat dirumah yang pernah diduduki oleh Elise semasa beliau masih kecil. Disitulah Elise mula berhadapan dengan entiti jahat yang pernah menghancurkan keluarganya suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, jujur saya katakan, tiada yang istimewanya dalam filem Insidious kali ini. Penulis lakonlayarnya, Leigh Whannell masih menggunakan ramuan yang sama dan method yang tipikal seperti filem-filem awal Insidious dalam mencipta ‘keseraman’ kepada penonton. The Last Key hanya menjual unsur-unsur ‘jump scare’ murahan bagi memancing penonton mengatakan filem ini hebat, sedangkan dari segi penceritaannya ianya sangat membosankan, cliche, kurang unsur-unsur suspense dan gagal mewujudkan perasaan seram dalam diri saya.

Sepanjang perjalanan filem, saya lihat plot filem tidak begitu menitik beratkan dalam menyelesaikan misteri yang berlaku dalam rumah lama Elise. Segalanya dapat dilakukan dengan mudah dan cepat. Malah elemen suspen ditunjukan secara tergesa-gesa dan kadang-kala diakhiri dengan jenaka yang merosakkan mood penonton.

Yang paling mengecewakan ialah kurangnya babak Elise memasuki ke alam roh. Seperti yang kita semua ketahui, konsep Insidious ini adalah memasuki alam roh untuk menyelesaikan misteri dan menentang entiti-entiti jahat, tetapi sebaliknya ia kurang ditonjolkan. The Last Key banyak memaparkan babak flashback, dan plot jumpscare dengan tujuan untuk memeranjatkan penonton semata-mata. Lebih menambahkan kekecewaan mengenai filem ini, ‘Hantu Kunci’ mudah ditewaskan walaupun diawal filem ia berpotensi menjadi entiti yang paling sukar untuk dihadapi oleh Elise.

Dari segi karakter, Elise bagi saya masih meneruskan kehebatannya seperti filem-filemnya kali ini. Beliau boleh dianggap ‘man of the match’ dalam filem kali ini walaupun Spec dan Tucker cuba mencuri perhatian penonton dengan jenaka-jenaka mereka yang kadang kala agak meloyakan. Cuma agak sayang, karakter salah seorang anak saudara Elise disia-siakan begitu sahaja sedangkan wataknya bagi saya mampu menambah perisa dalam menjadikan filem The Last Key lebih menarik dan sedap untuk ditonton.

Jika hendak dibandingkan dengan tiga filem sebelumnya, saya lebih memilih filem kedua yang dilihat lebih menarik dari segi perjalanan cerita, pembangunan watak dan unsur-unsur suspense. The Last Key sangat jauh ketinggalan, dan saya meletakkan filem kali antara yang terburuk dalam franchise Insidious. Walaupun begitu, jika anda gemarkan filem-filem seram yang mampu membuatkan anda terkejut, Insidious 4: The Last Key mampu membuatkan anda menutup mata dan telinga menantikan kejutan-kejutan yang akan muncul.

Rating Kakimuvee: 6/10

Insidious 4: The Last Key

Insidious 4: The Last Key
6

SERAM / THRILLER

7.0 /10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0 /10

PLOT / CERITA ASAL

4.0 /10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

6.0 /10

KARAKTER

6.0 /10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here