Filem Tempatan Berkualiti Disingkirkan Lebih Awal Oleh Pengusaha Panggung, Dimanakah Silapnya?

1
656
views

Kegagalan filem tempatan untuk kekal lama di panggung wayang tempatan seringkali dikaitkan dengan kurangnya promosi oleh pihak produksi. Ya, tak dinafikan, masalah tiada promosi menjadi punca utama sesebuah filem tempatan itu gagal untuk kekal lama di panggung wayang dan seterusnya gagal dari segi kewangan.

Tetapi bagaimana pula dengan filem tempatan yang mendapat publisiti meluas dan viral di media sosial? Sebagai contoh, filem adaptasi karya Ujang iaitu Jibam. Sebelum ditayangkan lagi, filem tersebut boleh dikatakan viral dilaman Facebook disebabkan reputasi Ujang yang sangat dikenali oleh peminatnya dan juga filem Adiwiraku yang begitu popular dan mendapat liputan meluas media sebelum tayanganya.

Lihat apa yang terjadi pada kedua-dua filem berkenaan terutamanya Jibam. Jibam baru ditayangkan tidak sampai seminggu, tetapi bakal ditamatkan tayangannya di pawagam-pawagam. Dimanakah silapnya? Adakah berita mengenai kewujudan filem berkenaan tidak tersebar luas sebenarnya? Ataupun tersilap pilih tarikh tayangan sehinggakan memberi kesan besar pada filem berkenaan?

Jika anda perasan, studio-studio Hollywood gemar menetapkan tarikh tayangan walaupun filem tersebut belum lagi dihasilkan. Ini disebabkan mereka mahu mengaut semaksima mungkin kutipan tiket berdasarkan musim-musim yang terdapat pada negara mereka dan mengelakkan pertembungan filem-filem box office yang boleh memberi kesan kepada kutipan tiket. (anda boleh baca mengenainya disini)

Bagi pembikin filem di Hollywood, tarikh tayangan sangat penting buat mereka, tetapi adakah produksi tempatan memikirkan tentang tarikh tayangan filem mereka?

Ok kita akan bincangkan pekara tersebut sebentar lagi. Tapi sebelum itu mari kita lihat statistik kutipan tiket filem penduduk Malaysia. Menurut Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), rakyat Malaysia sebenarnya gemar menonton wayang, ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan mereka pada tahun 2014 dimana sebanyak 61 juta tiket terjual berbanding populasi penduduk Malaysia sebanyak 30 juta. Jauh lebih tinggi dari negara jiran. Statistik yang dikeluarkan oleh FDAM itu menunjukan pasaran industri filem sememangnya wujud berdasarkan tabiat rakyat Malaysia yang gemar menonton filem di panggung wayang, tetapi kenapakah masih terdapat filem tempatan yang gagal?

Menurut FDAM lagi, faktor kegagalan filem tempatan mungkin disebabkan oleh bajet produksi filem yang terlalu kecil, tiada bintang besar berlakon, promosi tidak meluas dan tiada kesan visual janaan komputer yang canggih. (Mencabar Mitos Perfileman Dengan Fakta, Malaysiakini, 2015)

Faktor-faktor yang dinyatakan oleh FDAM sememangnya memberi kesan besar kepada penjualan tiket filem tempatan. Kurangnya promosi, filem tidak berkualiti antara penyumbang kepada kegagalan sesebuah filem. Tetapi bagaimana pula faktor pemilihan tarikh tayangan? Adakah ia turut memberi kesan kepada prestasi sesebuah filem?

Abang Long Fadil 2
Abang Long Fadil 2 telah menjadi filem paling laris tempatan buat masa ini dengan kutipan lebih RM 18 juta

Kita ambil contoh beberapa contoh filem tempatan laris tahun ini, Abang Long Fadil 2. Filem arahan Syafiq Yusof dan juga Bisik Pada Langit ditayangkan pada penghujung bulan Ogos dan Bulan September. Selain faktor promosi meluas dan virality di medan sosial, AFL2 dan Bisik Pada Langit saya lihat tidak mendapat saingan sengit dari filem-filem luar. Hanya filem IT dan Kingsman: The Golden Circle (ditayangkan pada bulan September) sahaja yang begitu dinantikan oleh peminat-peminat filem. Ini memberi ruang kepada Abang Long Fadil dan Bisik Pada Langit untuk bertahan di panggung wayang kerana penonton tidak begitu teruja menonton dua filem tersebut seperti mana mereka teruja menantikan filem-filem besar seperti filem-filem Superhero atau Transformers.  Spider-Man yang ditayangkan awal bulan Julai pun sudah surut bilangan penontonnya apabila memasuki bulan Ogos dan ini membuka ruang kepada filem AFL 2 dan Bisik Pada Langit.

Awal bulan Oktober juga tidak menampilkan begitu banyak filem-filem besar Hollywood melainkan Thor: Ragnarok. Tombiruo diawal 2 minggu tayangan pada bulan Oktober begitu gah dipanggung wayang sehinggalah Thor: Ragnarok mula memasuki panggung, perlahan-lahan Tombiruo dikurangkan masa tayangan disebabkan ingin memberi ruang kepada Thor: Ragnarok. Tetapi mujur promosi meluas telah membantu Tombiruo mengutip hampir RM8 juta kutipan tiket.

Berbeza dengan beberapa filem berkualiti seperti Jibam dan Adiwiraku. Jibam misalnya ditayangkan semasa ditengah-tengah tayangan filem besar seperti Justice League, Coco, Pengabdi Setan dan Pinjamkan Hatiku. Malah filem tersebut juga bakal disaingi oleh filem Star Wars: The Last Jedi yang akan memulakan tayangan pada 14 Disember ini. Manakala Adiwiraku pula ditayangkan ditengah-tengah tayangan filem Logan, J Revolusi dan Kong: Skull Island. Dari segi promosi, kedua-duanya kurang mempromosikan filem mereka walaupun viral dilaman sosial. Liputan yang kurang meluas menyebabkan mereka tidak tahu tentang filem tersebut dan waktu itu pula terdapat tayangan filem-filem lain yang lebih dikenali, jadi ia membuatkan kedua-dua filem berkenaan diletakan dalam senarai paling bawah sekali oleh peminat untuk ditonton dan sekaligus memberi kesan kepada jumlah kehadiran penonton. Jika kurangnya penonton, ia akan membawa kepada kesan yang lebih buruk sekali, tayangan filem mereka dihentikan oleh pengusaha panggung walaupun ditayangkan tidak sampai seminggu.

Jibam, filem berkualiti yang tidak mampu bertahan lama di pawagam

Situasi yang dialami oleh Abang Long Fadil 2 dan Bisik Pada Langit berbeza dengan Jibam dan Adiwiraku. Abang Long Fadil 2 dan Bisik Pada Langit mempunyai ruang untuk mengaut keuntungan kerana pada masa itu tidak begitu banyak tayangan filem-filem besar, tetapi Jibam dan Adiwiraku dihimpit dengan filem-filem hebat sehinggakan tidak sempat diberi ruang untuk bernafas. Tambahan pula, kedua-dua filem Astro Shaw itu dipromosikan secara meluas oleh pihak produksi.

Ahmad Idham sebelum pernah melahirkan rasa kecewanya apabila filem tempatan dianaktirikan oleh pengusaha panggung apabila filemnya Minah Moto dihimpit oleh dua filem besar pada masa itu, iaitu Transformers dan Spider-Man: Homecoming sehinggakan filemnya dibawa keluar lebih awal oleh pihak pengusaha panggung.

Saya tidak pasti siapakah yang menetapkan tarikh tayangan filem tempatan samada pihak produksi ataupun Finas sendiri, tetapi bagi saya, penetapan tarikh tayangan sebenarnya sangat ‘crucial’ dalam memastikan filem tempatan dapat kekal lama di panggung wayang. Walaupun Finas mempunyai skim Wajib Tayang, tetapi pihak panggung berhak untuk menarik filem tersebut dari dewan tayangan sekiranya ia tidak mencapai quota kehadiran penonton seperti yang diharapkan dan berikan tempat tersebut kepada filem yang boleh memberi keuntungan.

Ini lah hakikat yang perlu ditelan oleh pengusaha filem tempatan, selain memerlukan promosi yang kuat dan penghasilan karya yang berkualiti tinggi, penetapan tarikh tayangan juga dilihat sangat penting bagi mengelakkan saingan dengan filem-filem besar terutamanya filem-filem bergenrekan Superhero. Jika tidak, pembikin filem tempatan terpaksa berputih mata melihat filem-filem mereka ditarik keluar lebih awal oleh pengusaha panggung yang sememangnya lebih mementingkan keuntungan dari menjual produk tempatan.

Loading...

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here