Coco (2017) Review

0
59
views

Pixar Animation Coco Movie

Filem animasi Coco terbitan Pixar bagi saya boleh dikatakan antara filem terbaik yang pernah dihasilkan oleh studio animasi berkenaan. Jika hendak dibandingkan dengan trilogi Toy Story, Up, duology Finding Dory, dan The Good Dinosor, Coco bagi saya sebuah filem yang begitu berat dengan mesej yang cuba disampaikan kepada kanak-kanak.

Jujur saya katakan, dari segi humor, Coco memang sebuah filem animasi yang agak bosan, tetapi dari segi perjalanan cerita, ianya cukup terbaik, kuat dan berat untuk diikuti oleh penonton terutamanya golongan kanak-kanak. Selepas Toy Story 3, saya tidak pernah lagi menonton sebuah animasi yang mampu memberi satu perasaan sedih dalam diri saya dan memberikan kesedaran moral yang begitu kuat sehinggalah Coco diterbitkan.

Ia mengangkat perhubungan kekeluargaan sebagai tema dalam filem ini. Ia menceritakan konflik yang ada dalam diri seorang kanak-kanak yang mahu mengikuti kehendak keluarga yang melarangnya bermain muzik dan juga menuruti isi hatinya yang mahu dia menjadi pemuzik.

Larangan bermain muzik bermula dari moyangnya, iaitu Imelda yang tidak lagi mahu sebarang muzik hadir dalam kehidupannya dan juga keturunannya. Ia gara-gara tindakan suami Imelda yang telah meninggalkan keluarga demi mengecapi kehidupan sebagai seorang pemuzik. Imelda terpaksa menjalani kehidupannya dan membesarkan anak, Coco seorang diri. Disebabkan itu, ia telah menyampaikan larangannya kepada anak dan cucunya sehingga menjadi tradisi keluarga.

Pixar Animation Coco Movie

Namun Miguel Rivera, cucu kepada Imelda agak berbeza dari keluarganya. Dia begitu meminati muzik dan menjadikan Ernesto de la Cruz sebagai idolanya. Satu hari, dia dapati dirinya adalah berketurunan Ernesto de la Cruz, dan disebabkan sifat memberontaknya yang semakin menonjol dalam dirinya, dia telah mengingkari larangan keluarganya. Kerana ingkar, dan cubaan ‘meminjam’ gitar yang dimiliki oleh De la Cruz, ia telah menyebabkan Miguel terperangkap ke alam kematian sehinggalah dia menjumpai Hector. Demi mencapai impiannya menjadi pemuzik, Miguel telah meminta bantuan Hector untuk membawa berjumpa dengan moyangnya, Ernersto de la Cruz, dan Hector bersetuju dengan syarat membawa gambarnya ke alam kehidupan dan memberikan gambar tersebut kepada keluarga Hector.

Filem ini sebenarnya memberi satu panahan tepat kepada para penonton terutamanya kepada kanak-kanak mengenai mesej yang cuba disampaikan. Coco menceritakan bagaimana hubungan diantara bapa dan anak, pengorbanan yang perlu dilakukan demi keluarga dan juga membuang sifat pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri. Seperti yang nyatakan di permulaan review, Coco bukan sekadar animasi untuk hiburan semata-mata, tetapi jalan cerita juga sangat releven untuk ditunjukkan kepada para penonton.

Coco, Miguel Rivera Hector pixar animation

Selain itu juga, animasi yang ditonjolkan oleh Studio Pixar sangat-sangat menarik. Dengan visual yang penuh warna-warni, muzik-muzik yang sedap didengari serta menonjolkan budaya Mexican yang begitu menarik saya dapat rasakan Coco akan menjadi pemenang dalam anugerah Oscar akan datang. Saya suka dengan ketelitian Pixar menghasilkan ‘magis’ dalam filem animasi seperti ini, ia menjadikan filem Coco antara filem animasi yang paling bernilai sekali dan sangat berbaloi untuk ditonton.

Secara keseluruhan, Coco bukan sekadar sebuah animasi untuk tatapan mata dengan kecantikan yang penuh berwarna-warni dan kesedapan telinga mendengar muzik-muzik menarik, Coco juga memberikan satu inspirasi, memberi kesedaran moral serta bermain dengan perasaan para penonton. Saya mencadangkan anda menonton filem animasi ini bersama-sama keluarga dan rasai emosi yang cuba disampaikan dalam filem ini.

Rating Kakimuvee: 9/10

Coco

0.00
Coco
9.2

DRAMA / MORAL

9.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

9.0/10

PLOT / CERITA ASAL

9.0/10

VISUAL / ANIMASI

10.0/10

KARAKTER

9.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here