Braven Review

0
488
views

Pengarah: Lin Oeding
Pelakon: Jason Momoa, Garret Dillahunt, Jill Wagner, Stephen Lang, Sasha Rosoff, Brendan Fletcher, Zahn McClarnon. Tarikh Tayangan: Feb 2, 2018
Klasifikasi: 18 Keatas / R Rated
Durasi: 1 Jam 33 minit

Agak jarang sebenarnya saya dapat melihat aktor Aquaman ini membawakan watak utama dalam filem lakonan beliau. Tidak silap saya, filem Conan The Barbarian adalah satu-satunya filem dimana beliau benar-benar menjadi teraju utama, selebihnya saya lihat, watak-wataknya lebih kepada watak pembantu termasuklah dalam filem superhero Justice League.

Memandangkan filem solo Aquaman bakal ditayangkan pada penghujung tahun ini, saya cuba melihat prestasinya sebagai pelakon utama dalam filem terbaru beliau yang berjudul Braven. Filem aksi thriller arahan pengarah Lin Oeding ini telahpun memulakan tayangannya pada 2 Februari yang lalu. Selain daripada Momoa, Stephen Lang satu-satunya aktor terkenal yang membintangi filem ini, selebihnya pelakonnya lebih kepada siri televisyen.

Seperti John McClane dalam filem Die Hard, Bryan Mills dalam filem Taken atau John Wick dalam filem John Wick, Braven menampilkan seorang hero iaitu Joe Braven (lakonan Jason Momoa) yang menumpaskan sekumpulan penyeludup dadah yang cuba untuk membunuhnya dan juga ahli keluarganya. Apabila saya menonton filem ini, saya teringat filem The Last Stand lakonan Arnold Schwarzenegger yang mana beliau berkonfrontasi dengan sekumpulan penyeludup dadah dipekan yang diduduki olehnya.

Cuma skop filem Braven dikecilkan kepada keluarga Joe Braven apabila penyeludup-penyeludup dadah ini datang ke kabin miliknya untuk mengambil dadah yang disembunyikan didalam kabin tersebut oleh salah seorang anggota mereka. Demi mengelakkan keluarganya dibunuh oleh penjenayah-penjenayah ini, Joe dan bapanya Linden Braven (lakonan Stephen Lang) terpaksa berhadapan dengan mereka.

45 minit pertama filem ini agak ‘draggy’, perjalanannya filemnya cukup perlahan dan banyak menampilkan masalah Joe yang perlu mencari jalan mengelakkan bapanya dari diletakkan dipusat jagaan orang tua kerana penyakit yang dihadapi oleh bapanya. Tetapi ‘pace’nya mula berubah apabila Joe, bapanya dan anak perempuannya, Charlotte Braven berada di kabin kerana disitulah mereka berhadapan dengan penjenayah-penjenayah ini.

Aksi-aksi filem ini bagi saya sangat mengecewakan, aksi berlari dan mengejar lebih banyak ditonjolkan berbanding aksi berbalas tembakan dan berlawan. Bagaimanapun unsur-unsur suspen filem ini masih ada meskipun aksinya tidak begitu menarik. Saya dapat rasai debarannya semasa penjahat-penjahat ini memburu Joe dan anaknya semasa didalam hutan. Cuma jika aksinya padat, saya yakin Braven akan menjadi lebih menarik.

Satu yang saya tidak suka bila menonton sebuah filem yang diklasifikasikan sebagai R-Rated dipawagam adalah babak-babak yang mempunyai unsur-unsur R-Rated ini dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF). Boleh dikatakan, banyak bahagian yang menunjukkan penjahat ditusuk anak panah, ditikam dan dikapak telah dipotong oleh LPF – agak mengecewakan sebenarnya.

Jason Momoa berjaya memberikan satu prestasi yang cukup baik dalam filem ini. Lakonannya sebagai Joe Braven memberikan satu keyakinan kepada saya untuk melihat aksinya dalam filem Aquaman dalam filem akan datang walaupun beliau jarang diberikan watak-watak utama. Garret Dillahunt yang membawakan watak villain, Kassen bagi saya kurang menyengat walaupun beliau cuba menonjolkan wataknya yang kejam. Manakala Stephen Lang (salah satu sebab yang ingin menonton filem ini) yang terkenal dengan wataknya yang ‘badass’ dalam filem Avatar dan Don’t Breath sedikit tenggelam dalam filem ini. Wataknya tidak begitu menyumbang dalam babak-babak aksi walaupun beliau membantu anaknya, Joe dalam berhadapan dengan penjahat. Tetapi wataknya sebagai seorang ayah yang sedang berhadapan dengan trauma silam memang menjadi.

Secara keseluruhannya, aksi filem Braven bagi saya sangat gagal dan mengecewakan namun prestasi pelakon utamanya, Jason Momoa sedikit sebanyak menyelamatkan filem ini. Oh ya! tidak lupa, antara yang mampu menyelamatkan filem ini musik latarnya. Jujur saya katakan, musik latarnya sangat menarik dan sangat bertepatan dengan setiap babak-babak yang dimainkan. Jadi kepada peminat, Aquaman mahukan anda menonton filem lakonan beliau ini?

Rating Kakimuvee: 5/10

Braven

0.00
5

AKSI / THRILLER

4.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

7.0/10

PLOT / CERITA ASAL

4.0/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

4.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

6.0/10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here