Black Panther Review

0
516
views

*Amaran! Review ini mengandungi minor spoiler*

Bila melihat Marvel Studios memberikan tanggungjawab kepada Ryan Coogler untuk mengarah dan menulis filem Black Panther, saya menjangkakan filem terbaru Marvel itu pasti memberikan satu kelainan kepada penonton.

Coogler bukanlah pengarah yang sudah banyak mengarahkan filem. Beliau boleh dianggap sebagai ‘freshies’ dalam dunia Hollywood, tetapi mampu menghasilkan sebuah filem yang dianggap baik dengan teknik pengarahannya yang begitu kreatif. Lihat sahaja dua filem arahanya terdahulu iaitu  Fruitvale Station dan Creed yang banyak menerima pengiktirafan, jadi pemilihan Coogler sebagai pengarah Black Panther dianggap bertepatan lebih-lebih lagi filem ini banyak menampilkan pelakon-pelakon berkulit hitam.

Kesinambungan dari filem Captain America: Civil War, filem yang menampilkan Chadwick Boseman sebagai teraju utama ini mengisahkan cabaran pertama yang perlu dihadapi oleh T’Challa selepas diangkat menjadi Raja baru negara Wakanda. Tugasnya bukan sahaja untuk melindungi rakyat dan negara Wakanda, tetapi perlu berhadapan dengan konflik dalaman yang berlaku dalam negaranya serta mengelakkan dunia dan Wakanda musnah akibat kegilaan kuasa oleh individu yang telah lama menyimpan dendam dan mahu melihat dunia menjadi huru hara.

Sebagai persediaan ke arah perang Infinity yang bakal berlaku tidak lama lagi, Black Panther dilihat sebagai sebuah filem Marvel yang agak serius, sepertimana filem Iron Man 3, Captain America: Winter Soldier dan Captain America: Civil War. Jika tiga filem terbaru Marvel sebelum ini banyak menampilkan humor dan hiburan kepada penonton, Black Panther cuba memperlahankan rentak itu dan memberikan satu perasaan serius agar penonton bersedia dari segi mental apabila Avengers: Infinity War ditayangkan nanti.

Selain itu juga, Ryan Coogler berani menyelitkan isu-isu berat seperti kolonisma, nasionalisma, perhambaan, skeptikal terhadap bangsa Afrika dan politk dalam sebuah filem superhero. Lihat sahaja motif Erik Killmonger (Michael B. Jordan) yang begitu dambakan takhta Wakanda dari T’Challa. Jika tipikal penjahat dalam filem, tujuan mereka hanyalah mahu menguasai dunia, tetapi tidak bagi Killmonger. Karakter tersebut melihat penindasan yang berlaku pada populasi yang lemah sebagai motif dia cuba untuk menyebabkan peperangan dalam sesebuah negara. Dia melihat Wakanda sebagai sebuah negara yang pasif dan tidak membantu bangsa kulit hitam yang tertindas di negara asing, dia juga melihat bagaimana terdapat kelompok populasi yang mahu bangkit menentang tetapi tidak mempunyai sumber, jadi Killmonger merancang untuk merampas takhta dan menggunakan segala sumber yang ada pada Wakanda untuk memberikan senjata kepada penentang setiap negara dan mencetuskan rampasan kuasa.

Apa yang menariknya tentang Black Panther ini kualiti para pelakonnya serta loghat English-African yang dituturkan oleh para pelakon. Ia memberikan sedikit gambaran realistik bahawa ia adalah filem ‘Afrika’ (walaupun tiada satu gambarpun berlatarbelakangkan benua tersebut). ‘Chemistry’ diantara Coogler dan Michael B. Jordan menjadi sekali lagi selepas mereka pernah berkolaborasi dalam filem Creed. Dengan teknik pengarah Coogler serta bakat yang ada pada Jordan membuat pelakon tersebut berjaya membawakan watak supervillain dengan begitu berkesan sekali. Seorang yang fokus pada motifnya dan dalam masa yang sama tiada sifat ‘mercy’ terhadap orang-orang yang cuba menghalang perjuangan dia. Chadwick Boseman juga tidak mengecewakan, beliau berjaya menterjermahkan karakter T’Challa baik. Oh yaa!, terdapat beberapa pelakon filem ini yang berjaya mencuri perhatian saya antaranya Letitia Wright & Danai Gurira. Sejujurnya, saya suka dengan watak Shuri lakonan Letitia Wright, watak gadis yang sangat genius dan sedikit ‘gila-gila, begitu watak ‘badass’ Jeneral Okoye lakonan Gurira, teringat wataknya dengan pedang samurai dalam siri televisyen The Walking Dead. Saya harap dapat melihat lebih aksi kedua-dua pelakon wanita tersebut dalam Avengers: Infinity War akan datang.

Dari segi aksi, bagi saya sedikit kurang memuaskan terutamannya aksi kedua diantara T’Challa dan Erik Killmonger. Aksi tersebut terlampau dilimpahi dengan kesan-kesan khas sehingga menampakkan kesan ‘unrealistic’. ‘Shot’ koreografinya semasa babak-babak aksi seperti pahlawan Wakanda menentang Killmonger dan cabaran takhta banyak melibatkan satu arah, kurang mendebarkan bagi saya. Cuma aksi kejar mengejar di Busan, Korea begitu ‘intense’, dan apabila diadun sekali dengan skor yang begitu rancak, saya anggap aksi tersebut antara yang terbaik dalam filem Black Panther. 

Dari segi jalan cerita, Black Panther tidak begitu rumit, tipikal seperti filem-filem adaptasi komik, malah filem ini tidak begitu berkait dengan mana-mana filem Marvel yang lain. Saya melihat, Black Panther lebih kepada filemnya sendiri dan Ia lebih kepada konflik dalaman Wakanda, bagaimanapun perjalanan cerita filem ini sebenarnya lebih merujuk kepada perubahan karakter T’Challa dan perubahan yang dilakukan olehnya pada negara Wakanda.

Secara keseluruhan, Black Panther berjaya memberikan sebuah filem yang sarat dengan isu, serius tetapi tidak meminggirkan tema sebagai sebuah filem superhero Marvel. Jika penonton sudah bosan dengan elemen humor dan supervillain yang semakin lemah, Black Panther menerusi Ryan Coogler berjaya mengubah persepektif penonton terhadap filem-filem Marvel. Oh yer, jangan tinggalkan kerusi anda kerana Black Panther akan memaparkan dua babak post credit.

Rating Kakimuvee: 8.5/10

Black Panther

0.00
Black Panther
8.6

AKSI / DRAMA

7.0 /10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

8.0 /10

PLOT / CERITA ASAL

10.0 /10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

8.0 /10

PEMBANGUNAN KARAKTER

10.0 /10
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here