Khabar angin masih menyelubungi filem The Batman arahan Matt Reeves. Menurut sumber dari comicbook.com, filem solo Batman berkenaan akan keluar dari kontinuiti DC Extended Universe (DCEU) dan akan berada dalam dunianya sendiri.
Jika benar filem The Batman tidak akan berada dalam dunia DCEU, ini bermakna ia akan menjadi filem kedua DC yang berada dalam dunianya sendiri sepertimana yang dirancang dalam satu lagi projek filem DC akan datang, The Joker Origin.
Jika pengarahnya membuat keputusan untuk meletakkan filem The Batman diluar kontinuiti DCEU, ini bermakna pelakon yang bakal mengalas watak Dark Knight itu tidak semestinya Ben Affleck. Ia menguatkan khabar angin bahawa aktor baru akan membawa watak Batman selain Affleck.
Selain itu juga, dikhabarkan, bekas pelakon Armageddon itu juga akan muncul dalam salah satu filem yang sedang dirancang oleh Warner Bros. dan DC iaitu ‘Flashpoint’ ataupun ‘Suicide Squad 2’.
Buat masa ini, sumber dari laman web Comicbook.com menyatakan laporan yang mereka terima sekadar khabar angin sahaja. Ben Affleck sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau gembira berkerja bersama-sama Matt Reeves dalam pembikinan filem The Batman.
Sebelum diambil alih oleh Matt Reeves, projek filem solo Batman itu dipegang oleh Ben Affleck selaku pengarah dan penulis. Namun beberapa kontroversi telah menyebabkan aktor tersebut melepaskan kedua-dua tugasnya itu dan diberi kepada Matt Reeves. Bagaimanapun, pengarah baru itu telah ‘membuang’ skrip yang dihasilkan oleh Affleck dan menulis skrip baru untuk filem yang bakal dihasilkan itu.
Kini, perjalanan filem The Batman bergantung kepada kreativiti pengarah War of the Planet of the Apes sama ada mahu mengekalkan filem solo Batman itu dalam dunia DCEU ataupun sebaliknya.
DC dan Warner Bros. kini sedang dalam perancangan dan pembikinan beberapa filem superhero mereka antaranya Suicide Squad 2, Flashpoint, Shazam dan Wonder Women 2. Kepada peminat-peminat filem DC, mahukan adan melihat aktor lain membawa watak Dark Knight itu?