Badang Review

1
1248
views

Meskipun filem ke-41 Profesor Dato’ Dr A. Razak Mohaideen yang berjudul Badang belum ditayangkan dipawagam, banyak kecaman telah dilemparkan terhadap filem terbaru adiwira tempatan itu gara-gara pemilihan pelakon utamanya yang bukan dari kalangan pelakon sebenar dan juga kostumnya yang dikatakan agak ‘mencolok’ mata serta kualiti posternya yang agak teruk.

Saya yang berkesempatan menonton tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini, cuba mengosongkan minda dari pengaruh negatif para netizen terhadap filem tersebut. Nyata filem adiwira Badang bagi saya masih boleh ditonton walaupun banyak kelemahan ketara yang ditunjukkan dalam filem itu.

Dibintangi oleh Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Fasha Sanda, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Badang bukanlah filem yang diadaptasikan sepenuhnya dari hikayat dulu kala Badang, tetapi sebaliknya seperti adiwira moden yang kita tonton pada masakini, cuma menggunakan nama Badang disebabkan nama alter-egonya adalah Badrul. Jika Marvel dan DC memiliki superhero yang terdiri daripada pelbagai spesis seperti Kree, Mutant, ataupun Kriptonian, Badang dalam filem ini saya boleh kelaskan sebagai adiwira yang bukan dari kalangan manusia, tetapi dari golongan bunian. Kenapa saya berkata demikian? kerana lahirnya Badang dalam filem ini dari batang buluh.

Mengisahkan seorang lelaki lembut dan lemah yang secara tiba-tiba memperolehi kuasa luarbiasa, Badrul (lakonan Aliff Syukri) cuba menjadi adiwira di Kota Kuala Lumpur dengan membantu orang yang berada dalam kesusahan serta menumpaskan penjenayah dan dalam masa yang sama memburu penjahat yang bertanggungjawab menyebakan kematian ibunya, Mak Siah (Lakonan Aminah Rhapor). Seperti filem-filem superhero Hollywood, Badang juga turut menampilkan heroin yang menjadi kekasih kepada sang adiwira. Tisha (lakonan Fasha Sanda) mengalas tanggungjawab tersebut dengan menjadi kekasih yang sentiasa memberi dorongan kepada Badrul dan dalam masa yang sama menjadi mangsa kepada penjahat dalam filem ini iaitu Abang Tai (lakonan Fauzi Nawawi) yang sentiasa mencari jalan untuk menumpaskan Badang.

Salah satu babak filem Badang

Selain masalah casting pelakon utama Alif Syukri yang ‘overacting’, dan kaku, beberapa pelakon dalam filem ini bagi saya berjaya memberikan komitmen 100% dalam penghayatan watak-watak mereka. Fauzi Nawawi saya letakkan beliau sebagai ‘man of the match’ untuk filem ini kerana berjaya membawakan watak penjahat dengan begitu berkesan sekali. Saya suka melihat gaya perwatakan Fauzi Nawawi sebagai ketua kongsi gelap yang agak psiko dan ‘ruthless’. Begitu juga anaknya, Fareez Fauzi yang membawakan watak Aeril. Ibaratkan ‘mana tidak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’, lakonan pendatang baru itu itu mirip bapannya, Fauzi Nawawi. Lakonan Azhari Zain sebagai Sarip yang merupakan rakan kepada Badrul juga benar-benar mencuri perhatian penonton. Beliau berjaya memberikan humor kepada penonton walaupun kadang-kadang terdapat aksi kelakarnya yang agak ‘try-hard’.

Plot filem Badang bagi saya masih boleh diterima dan tipikal, cuma ianya agak rushing dan lemah. Saya lihat mereka seperti sedikit meniru jalan cerita filem pertama Spiderman lakonan Tobey Maguire kerana terdapat beberapa babak yang dilihat hampir sama seperti filem superhero tersebut, antaranya babak yang menampilkan bibik romantik diantara Badrul dan Tisha, babak-babak menonjolkan Badang membantu orang ramai, dan babak heroin cemburu melihat Badang didekati oleh gadis-gadis.

Antara yang saya tidak gemari tentang Badang dalam filem ini ialah sifat gelojoh karakter Badrul selepas mengentahui dirinya mempunyai kuasa. Jika kita lihat filem-filem adiwira luar negara ataupun yang paling hampir dengan filem tempatan, Cicakman, watak yang memegang karakter adiwira ini sedaya upaya menyembunyikan identiti adiwiranya kepada wanita yang diminati olehnya, tetapi tidak dalam filem Badang, saya tidak pasti sama ada mereka mahu membuat kelainan ataupun sebaliknya, saya lihat Badrul begitu gelojoh mendedahkan kuasa luarbiasanya kepada Tisha. Disini kurang daya penarik untuk membentuk satu jalan cerita romantik diantara hero dan heroin seperti filem Spider-Man dan Superman. 

Dari segi teknikal seperti CGI, tiada ‘wow’ faktor yang mampu saya kongsikan melainkan kualiti CGI yang begitu teruk walaupun ia diselia oleh Yusri KRU. Bagi saya babak Badrul dan Tisha pergi ‘melompat’ ke luar negara adalah tidak perlu kerana ia menyebabkan filem ini kelihatan lebih teruk – not mention babak yang melibatkan Mak Siah dilanggar kereta seperti yang ditunjukan dalam treler, saya terpaksa menahan gelak melihat visual efek yang ditunjukkan. Aksi dalam filem Badang boleh dikatakan ‘OK’, saya difahamkan kebanyakkan dilakukan secara fizikal tanpa bantuan CGI, cuma sayangnya aksi-aksi ini dirakam satu arah sahaja, menjadikan aksi berlawan kurang menarik untuk ditonton.

Secara keseluruhannya, kualiti filem adiwira tempatan masih jauh ketinggalan walaupun filem ini berpotensi menjadi pelopor untuk mengangkat wira-wira dahulu kala menjadi adiwira tempatan dalam industri perfileman tanah air. Sayangnya tajuk filemnya sudah menarik, plot filem bagi saya memuaskan, dan aksinya serta komedi boleh dianggap OK dan mampu memberi gelak ketawa, tetapi pelakon utamanya dan kostum membuatkan Badang terbunuh sebelum sempat berentap dengan Black Panther pada 15 Februari ini. Bagaimanapun, jika anda berniat untuk hiburan dan bergelak ketawa, Badang mungkin mampu memberikan elemen tersebut kepada anda.

Rating Kakimuvee: 3/10

3

AKSI / KOMEDI

4.0/10

MUZIK LATAR, SOUND EFFECTS

2.5/10

PLOT / CERITA ASAL

3.5/10

VISUAL / CINEMATOGRAFI

2.0/10

PEMBANGUNAN KARAKTER

3.0/10
Loading...

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here